Cari @ Amanz

Pada malam tadi, Telekom Malaysia telah pun mengadakan sebuah acara khas untuk pelancaran perkhidmatan baru mereka yang tertangguh selama ini, dinamakan sebagai My1Content. Laman tersebut juga turut dibangunkan oleh TM hasil kerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyokong pembangunan kandungan tempatan.

Menurut TM, ia adalah salah satu platform yang membolehkan para pembangun kandungan tempatan seperti video, audio, aplikasi dan permainan untuk berinteraksi dengan pembeli berpotensi melalui laman tersebut. Mungkin secara tidak langsung, ia membolehkan My1Content menjadi rujukan sebagai direktori untuk kandungan-kandungan tempatan kepada semua pengguna.

Pada mulanya, kami beranggapan dimana para pengguna boleh melakukan pembelian terus melalui laman My1Content, sekaligus mempromosikan dan menguntungkan industri kreatif negara. Namun, setelah menggunakan laman tersebut untuk beberapa minit, sangkaan kami meleset sama sekali.

Daripada apa yang kelihatan, untuk aplikasi dan permainan, My1Content hanya memaparkan pautan untuk meninggalkan komen dan juga menghubungi pembangunnya sahaja. Tiada sebarang pautan disediakan untuk memuat-turun mahupun untuk membelinya. Perkara ini sekaligus agak mengecewakan, sekaligus menjadikan kami tertanya-tanya berkenaan dengan motif pengenalan laman tersebut.

Untuk video dan audio pula, pautan disediakan untuk memainkan sesuatu lagu mahupun filem pendek itu. Memandangkan Telekom Malaysia merupakan nama besar, kami percaya mereka telah memeterai perjanjian bersama-sama dengan pelbagai jenama muzik dalam memaparkan lagu mereka di laman tersebut, disamping turut mempromosikan pembangun kandungan yang baru melaluinya.

Memandangkan ianya mempromosikan industri kreatif negara, kami berpendapat ada baiknya sekiranya ia direkabentuk dengan lebih menarik, disamping pada masa yang sama dijadikan mesra peranti mudah-alih dengan pelbagai saiz skrin. Bagi anda yang berminat, boleh melihat sendiri laman My1Content hari ini yang dibangunkan bersama oleh Telekom Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd