Akhirnya, setelah dinantikan sekian lama, hari ini, pembangun pelayar web Opera, iaitu Opera Software telah pun mengemaskini laman mereka, sekaligus menyertakan pelayar web desktop versi terkini, Opera 12 bersama-sama dengan pelbagai fungsi menarik serta memfokuskan kepada sekuriti pada masa yang sama.
Melalui Opera 12, ia menambah sokongan tema padanya, membolehkan para pengguna mengubah paparan antaramuka pelayar web mereka mengikut citarasa masing-masing. Selain daripada lebih pantas dengan prestasi yang lebih baik, Opera juga memfokuskan kepada sekuriti, dimana kini ia memperlihatkan notifikasi apabila sesuatu laman ingin mendapatkan informasi anda, seperti lokasi, mahupun ingin mengakses webcam dan sebagainya.
Opera 12 turut sama membawakan sokongan yang lebih baik untuk HTML5, disamping menyertakan sokongan hardware acceleration bersama-sama dengannya.
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun Opera 12 hari ini untuk desktop Windows, Linux mahupun OS X, dan mencubanya sendiri.