Mahal Sangatkah USD 0.99 Untuk Pembelian Aplikasi Mudah-Alih?

Mahal Sangatkah USD 0.99 Untuk Pembelian Aplikasi Mudah-Alih?

Diterbitkan pada June 19, 2012 oleh .

Bermula tahun lepas, banyak pembangun-pembangun aplikasi dari Malaysia muncul dengan aplikasi yang menarik untuk peranti mudah alih anda. Malahan MSC Malaysia juga telah memainkan peranan yang aktif dengan kewujudan program ICON 2 yang membantu pembangun untuk membangunkan aplikasi yang mempunyai kandungan tempatan. Kewujudan banyak aplikasi sebegini semestinya memeriahkan pasaran kandungan tempatan dan sekaligus menaikkan martabat para pembangun ke taraf antarabangsa.

Walaubagaimanapun disebalik kemeriahan atas kewujudan banyak aplikasi tersebut, wujud satu sindrom dikalangan umum yang rata-rata mahukan kebanyakan aplikasi ini secara percuma. Sekiranya aplikasi tersebut merupakan aplikasi berbayar, ramai yang mahu memanipulasi peranti mereka supaya penggunaan perisian cetak rompak boleh beroperasi. Tidak kurang juga pengguna yang menempelak apabila pembangun aplikasi hanya membangunkan aplikasi tersebut untuk platform iOS berbanding platform Android.

Kenapa iOS menjadi pilihan pembangun ?

Terdapat banyak faktor pembangun memilih untu membangunkan aplikasi untuk iOS. Dari segi teknikal, membangunkan untuk iOS mudah kerana tiada isu perbezaan spesifikasi antara peranti, paparan yang sama saiznya (kecuali faktor Retina Display) malahan aplikasi untuk iPhone boleh digunakan pada iPad.

Dari segi keuntungan pula, iOS menjadi pilihan utama kerana ramai pelanggan berbayar yang menggunakan kad kredit. Kebanyakan pengguna iOS perlu mendaftarkan akaun mereka beserta kad kredit. Bagi mereka yang tidak mempunyai kad kredit, kad debit juga boleh digunakan (seperti Kad Debit Maybank Visa yang mempunyai gambar buah ceri). Perkara sebegini memudahkan proses pembelian aplikasi. Meskipun pembahagian keuntungan sebanyak 30% akan diberikan kepada Apple, perkara ini bukanlah satu isu yang besar memandangkan Apple mempunyai 400 juta pengguna berbayar yang boleh membeli aplikasi dengan satu klik.

Malahan, ramai pembangun mempunyai pendapat sekiranya ingin mencari keuntungan, gunakan iOS, dan sekiranya ingin mencari populariti, gunakan Android. Keuntungan melalui aplikasi yang dibangunkan untuk peranti Android adalah berdasarkan kaedah pengiklanan.

Kaedah pengiklanan pada aplikasi – Adakah ianya memberi pulangan yang lumayan?

Banyak aplikasi yang percuma yang akan memaparkan iklan pada aplikasi mereka. Pengiklanan disini merupakan satu cara untuk pembangun memperoleh keuntungan dari penggunaan aplikasi tersebut. Statistik klik dan kuantiti iklan terpapar menjadi paras ukuran keuntungan iklan tersebut.

Kaedah pengiklanan mungkin memberi manfaat sekiranya pembangun memasarkan aplikasi mereka di negara yang mempunyai ramai pengguna peranti tersebut seperti Indonesia dan Amerika Syarikat. Cabaran yang dihadapi disini adalah dari segi variasi bahasa. Terdapat juga aplikasi yang membolehkan anda membeli sekaligus, membuang iklan dari aplikasi tersebut.


Gambar : Mike Smith

Mahal sangatkah USD 0.99?

Disini saya ingin cuba berbincang, apakah nilai USD 0.99 merupakan nilai yang tinggi jika dibandingkan dengan usaha dan penat lelah para pembangun? Gambar diatas menunjukkan hampir 40% pengguna yang memuat-turun aplikasi permainan, tidak mahu berbelanja untuk permainan tersebut. Pada artikel terdahulu yang memaparkan pengguna Malaysia tidak gemar membeli aplikasi permainan mudah-alih, banyak pendapat telah diterima antaranya

  1. Aplikasi tersebut sudah tersedia didalam peranti (kes penjual memuatkan aplikasi didalam peranti mereka sebelum pembelian).
  2. Pengguna tempatan masih tidak aktif menggunakan kad kredit/debit dalam melaksanakan pembelian atas talian atas sebab umur
  3. Budaya semua perkara di internet haruslah percuma tertanam pada minda pengguna secara amnya.

Sebab-musabab pertama dan kedua boleh diselesaikan dengan cara penguatkuasaan dan juga pendedahan am mengenai pembelian atas talian. Cabaran adalah kepada faktor ketiga, yang mana bukan sahaja untuk aplikasi untuk peranti mudah alih, bahkan untuk kebanyakan produk berasaskan komputer.

USD 0.99 ataupun sekiranya dibundarkan secara mudah, RM 3.00 merupakan harga yang sangat murah. Kita ambil contoh permainan Where’s My Chicken yang telah dimuatturun lebih dari 50,000 kali. Sekiranya ia didarabkan, pembangun tersebut boleh mengaut keuntungan sebanyak RM 150,000 secara kasar. Dengan wang sebanyak itu, mereka boleh membangunkan aplikasi lain sekaligus mengembangkan syarikat mereka dan boleh mengupah pembangun tambahan.

Sekiranya dengan kuantiti yang sama, 50,000 muat turun dikalikan dengan purata 10 paparan pengiklanan setiap pengguna, akan berjumlah 500,000 dan didarabkan dengan RM 10 untuk setiap CPM (cost per metric, 1 CPM = 1000) maka 500 x RM 10  hanya bernilai RM5,000. Sekiranya pembangun tersebut mahu menjana pendapatan, mereka perlu memastikan yang aplikasi mereka sentiasa dimainkan pada kadar yang sama atau perlu mempunyai aplikasi alternatif yang mampu mendapat kuantiti paparan pengiklanan yang sama.

Pada pendapat anda, cara yang manakah yang memberi pulangan buat para pembangun, yang pada masa sama, mengembangkan industri ICT di Malaysia ini? Jangan kerana berjimat RM 3, kita tidak membantu industri ICT yang sedang membangun ini.

Kami harap rencana ini sedikit sebanyak mendedahkan hakikat kepada anda kenapa pembangun memilih untuk membangunkan aplikasi untuk platform iOS atau sebab musabab pembangun mengenakan caj sebanyak RM3.00 untuk aplikasi mereka. Bayangkan syarikat yang mempunyai 3 pembangun, yang berkongsi pendapatan sebanyak RM5,000 setiap bulan.

Sokonglah para pembangun, baik buatan Malaysia atau buatan luar negara.

TIPS & ULASAN