Cari @ Amanz

Ingin pelajari bahasa tambahan? Di arena internet terdapat pelbagai pusat rujukan, dan salah satu yang baru dilancarkan kepada umum adalah DuoLingo, yang mana menawarkan sokongan pembelajaran bahasa tambahan secara mudah melalui perkhidmatan mereka.

Buat masa ini, DuoLingo hanya menyediakan sokongan pembelajaran bahasa Jerman, Sepanyol dan juga Perancis. Beberapa daripadanya masih lagi pada peringkat beta, dan mungkin lebih banyak bahasa akan ditambah pada masa akan datang.

Menariknya mengenai pembelajaran melalui DuoLingo adalah dimana ia memudahkan proses pembelajaran, sekaligus menjadikannya interaktif. Anda bukan sahaja akan diajar cara untuk menulis, tetapi turut sama melibatkan sebutan dan pendengaran. Selain daripada menaip, laman tersebut juga meminta anda melakukan input dalam bentuk suara menggunakan mikrofon, untuk menilai cara sebutan anda untuk sesuatu bahasa.

Setiap tahap pembelajaran juga disusun rapi, dan anda boleh melihat perkembangan semasa anda daripada laman profail pada DuoLingo. Ia memudahkan proses pendaftaran dengan menyertakan sokongan untuk menarik data daripada Facebook dan juga Twitter, sekaligus membolehkan anda memulakan proses pembelajaran dengan pantas.

Bagi anda yang berminat, mungkin boleh mempelajari bahasa tambahan dengan mudah melalui DuoLingo, sekaligus memudahkan anda berinteraksi dengan rakan-rakan anda di luar negara. Cubanya hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd