Cari @ Amanz

Sony Mobile sejak akhir-akhir ini telah memperkenalkan beberapa peranti baru mereka, dan hari ini, secara rasminya Sony Mobile turut sama melancarkan enam peranti baru untuk pasaran Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Enam peranti baru yang dilancarkan untuk pasaran tempatan adalah termasuk Xperia Ion, Xperia Go, Xperia Acro S, Xperia Miro, Xperia Tipo, dan juga Xperia Neo L. Seperti semua sedia maklum, Sony telah melancarkan dua daripadanya pada minggu lepas, iaitu Xperia Tipo dan juga Xperia Miro, disasarkan untuk pasaran mampu milik.

Xperia Ion memfokuskan kepada pengalaman penggunaan dan hiburan pada skrin besar. Didatangkan bersama-sama skrin bersaiz 4.6-inci dengan paparan HD, ia juga turut menyertakan pelbagai fungsi menarik lain bersama-sama dengannya. Sokongan mengambil gambar dengan pantas daripada skrin kunci, serta perkongsian mudah melalui DLNA turut disertakan bersama Xperia Ion. Spesifikasi lain adalah termasuk cip pemprosesan 1.5GHz dwi-teras, kamera 12-megapixel dengan sokongan Sony Exmor R, serta pelbagai aplikasi Sony lain pada platform Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

Xperia Go pula mensasarkan kepada ketahanan dan gaya hidup lasak, lebih kurang sama seperti Xperia Active sebelum ini. Ia didatangkan dengan sokongan kalis habuk dan air. Dari segi spesifikasi pula, ia didatangkan bersama skrin sentuh 3.5-inci, kamera 5-megapixel, cip pemprosesan 1GHz, dan didatangkan bersama-sama Android 2.3 Gingerbread. Sony mengatakan ianya boleh dikemaskini kepada Android 4.0 Ice Cream Sandwich kelak.

Sama seperti Xperia Go, Xperia Acro S turut didatangkan dengan sokongan kalis air dan habuk, selain turut disertakan dengan sokongan NFC padanya. Xperia Acro S menggunakan skrin bersaiz 4.3-inci, kamera 12-megapixel, cip pemprosesan dwi-teras 1.5GHz, serta didatangkan dengan pensijilan PlayStation.

Xperia Neo L lebih memfokuskan kepada rekabentuk yang menarik. Pada pandang pertama, ia kelihatan serba sebanyak seperti Xperia Play dan, cuma tidak menyertakan kebolehan untuk mengelungsur untuk papan kunci tambahan dan sebagainya. Ia juga boleh dikatakan kemaskini kepada Xperia Neo V sebelum ini. Xperia Neo L menggunakan skrin sentuh bersaiz 4-inci, kamera belakang 5-megapixel, serta didatangkan bersama-sama dengan kamera hadapan untuk panggilan video. Untuk sokongan bunyi yang lebih menarik, ia turut disertakan bersama sokongan teknologi audi xLoud Sony. Sama seperti beberapa peranti lain, ia turut menggunakan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

Xperia Miro pula merupakan salah satu peranti yang baru diperkenalkan pada minggu lepas, memfokuskan kepada kemudahan untuk sesiapa sahaja bersosial melaluinya. Ia membawakan skrin seluas 3.5-inci, kamera 5-megapixel dengan sokongan rakaman video pada kadar 30fps, sokongan teknologi audio xLoud, kamera hadapan untuk panggilan video, dan juga diintegrasikan secara menyeluruh dengan Facebook untuk senarai rakan-rakan, galeri, pemain muzik dan sebagainya.

Xperia Tipo juga diperkenalkan pada minggu, bersama-sama dengan Miro. Walaupun namanya mungkin kurang sesuai untuk pasaran tempatan, Sony masih kekal menggunakannya, memfokuskan kepada peranti mampu milik. Xperia Tipo dijana menggunakan skrin 3.2-megapixel, kamera 3.2-megapixel, bateri 1500mAh untuk penggunaan sehingga hampir 24 jam, serta menariknya didatangkan dengan sokongan dwi-SIM padanya.

Ke semua peranti baru Xperia ini bakal memasuki pasaran tempatan bermula suku tahun ketiga tahun ini. Harga peranti masih tidak diumumkan. Selain daripada Malaysia, Indonesia dan juga Singapura turut sama akan menerima peranti ini pada masa yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd