Cari @ Amanz

MacBook Pro Retina merupakan salah satu tarikan yang diumumkan oleh Apple selain daripada beberapa perkara lain pada WWDC 2012 yang lepas. Sejak penghujung minggu lepas, beberapa pengedar rasmi Apple di Malaysia telah pun mula menawarkan MacBook Pro Retina kepada para pengguna tempatan, pada harga bermula daripada RM6799.

Pada MacBook Pro Retina, ia membawakan rekabentuk yang menyerupai MacBook Pro sedia ada, dan penambah-baikkan yang dilakukan adalah dari segi spesifikasi dan juga skrin paparan padanya.

Paparan Retina yang dibawakan oleh MacBook Pro adalah pada resolusi 2880 x 1800 pixel, dimana turut disokong oleh cip pemprosesan Intel Core i7 bermula 2.3GHz, memori bermula daripada sebesar 8GB, dijana menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GT 650M, sokongan USB 3.0, Thunderbolt, HDMI, kamera hadapan dengan sokongan FaceTime HD, dan juga masa bertahan sehingga 7 jam lamanya.

Daripada apa yang kami dapat lihat melalui percubaan ringkas kami pada MacBook Pro Retina, ia kelihatan berfungsi dengan pantas, dan menariknya membolehkan gambar dan video resolusi tinggi (1080p) dipaparkan dengan menarik, didalam sebuah tetingkap, berbeza dengan sebelum ini yang ia biasanya memenuhkan skrin komputer riba. Perkara ini semestinya akan mengembirakan mereka yang bergiat dalam industri kreatif, apatah lagi memudahkan mereka melakukan kerja mengedit dan sebagainya, tanpa perlu zoom-out dan sebagainya.

Pada masa yang sama, beberapa aplikasi masih tidak dioptimasikan untuk paparan Retina. Namun, perisian dan aplikasi daripada Apple, seperti Safari, Mail, iPhoto dan beberapa lagi telah pun sedia menyokongnya, menawarkan teks yang lebih tajam, dan paparan yang lebih menarik.

Bagi anda yang berminat untuk menguji dan melihatnya terlebih dahulu, mungkin boleh singgah ke beberapa kedai pengedar rasmi Apple di sekitar Malaysia. Ia juga diketahui unit yang terdapat di Malaysia buat masa ini adalah amat terhad. Namun, ia diperkatakan set yang terdapat di Malaysia masih terhad buat masa ini, disamping tempahan melalui Apple Store yang mengambil masa beberapa minggu untuk dihantar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd