Samsung, seperti biasa telah pun mengeluarkan beberapa peranti mampu milik, seperti Galaxy Y dan sebagainya. Dan sebagai tambahan, sejak daripada bulan lepas, mereka telah pun mula menawarkan peranti Galaxy Mini 2 untuk pasaran Malaysia pada harga RM599.
Dari segi spesifikasi, Galaxy Mini 2 membawakan skrin seluas 3.27-inci HVGA TFT, cip pemprosesan 800MHz, kamera belakang 3-megapixel, ruangan storan 4GB dengan sokongan kat mikro-SD sehingga 32GB, RAM sebanyak 512MB, dan bateri 1,300mAh. Ia turut dijana mengugnakan antaramuka khas Samsung – TouchWiz, disamping menggunakan Android 2.3 Gingerbread.
Menariknya, pada harga yang murah, Galaxy Mini 2 turut membawakan sokongan NFC terbina padanya. Sokongan lain termasuk aplikasi Samsung seperti AllShare, ChatON dan sebagainya, selain turut didatangkan dengan radio FM, dan juga aplikasi Thinkfree Office.
Jikalau dibandingkan dengan Galaxy Y, Galaxy Mini 2 membawakan skrin yang lebih jelas berbanding dengannya, disamping berfungsi dengan lancar tanpa sebarang kelembapan dan sebagainya.
Dari penggunaan dan percubaan ringkas kami, peranti ini berfungsi tanpa sebarang masalah. Bagi mereka yang ingin membelikan anak-anak mereka dengan Galaxy Mini 2, ataupun sesiapa yang inginkan peranti mampu milik, mungkin ini adalah salah satu pilihan menarik, sementara menantikan peranti Android 4.0 Ice Cream Sandwich seperti Xperia Tipo dan Xperia Miro dengan harga mampu milik memasuki pasaran tempatan.