Cari @ Amanz

Hari demi hari, angka pendaftaran nama domain di Malaysia semakin meningkat. Sekadar makluman, domain .my sahaja mempunyai sebanyak lebih 197,000 domain yang aktif hari ini. Tetapi bagaimana untuk menguruskannya? Kini, salah sebuah perkhidmatan baru diperkenalkan oleh salah seorang pembangun tempatan dalam beta terbuka, dinamakan sebagai DNSSocial.

Bagi mereka yang gemar membeli domain, semestinya mereka mengetahui kos yang dikenakan oleh beberapa penjual dalam menguruskan domain, seperti untuk name server, CNAME, MX, serta menambah DNSsec dan sebagainya terus melalui perkhidmatan mereka. Apa yang menariknya melalui DNSSocial adalah mereka menawarkan perkhidmatan ini secara percuma untuk para pengguna, untuk hos akan sehingga 2 domain.

Memandangkan ia masih pada peringkat awal, mereka masih belum memperkenalkan pakej berbayar dengan sokongan lebih banyak domain. Sokongan ini dijangka dalam versi DNSSocial akan datang.

DNSSocial juga, selain menawarkan pengurusan domain, ia turut mengintegrasikan sokongan sosial, dan perkongsian bersama rakan-rakan yang lain. Kadangkala anda berkongsi beli sesuatu domain dengan rakan anda, dan perlu berkongsi nama pengguna dan sebagainya. Namun, melalui DNSSocial, perkara itu dimudahkan, dimana anda sendiri boleh menambah rakan anda untuk menguruskan domain tersebut, tanpa perlu berkongsi sebarang data peribadi.

Disamping itu, anda turut boleh menawarkan nama subdomain anda kepada rakan anda yang lain melalui sokongan perkongsian terbina, sekaligus membolehkan setiap subdomain mempunyai panel kawalan mereka tersendiri. Apa yang menariknya adalah dimana setiap subdomain juga boleh ditetapkan nameserver, MX, dan sebagainya melalui panel DNSSocial.

Salah satu fungsi yang membuatkan kami tertarik adalah penggunaan nameserver maya melalui DNSSocial. Fungsi ini dinamakan sebagai Vanity NS, dimana secara ringkasnya membolehkan anda menyembunyikan nama DNSSocial pada bahagian nameserver untuk domain anda, dan mengantikannya dengan nama domain anda sendiri. Sebagai contoh, sekiranya whois akan domain anda, mungkin anda akan melihat ns.namaserver.com sebelum ini, tetapi melalui sokongan Vanity NS, ia membolehkan anda menggunakan ns.amanz.my dan sebagainya, mengikut nama domain anda, sekaligus menjadikannya lebih menarik lagi.

Memandangkan DNSSocial membawakan sokongan pengurusan nama domain, ia bukan sahaja hanya boleh digunakan oleh mereka yang mempunyai server sendiri, tetapi turut sama boleh digunakan oleh pengguna perkhidmatan blog dan hos percuma, seperti Blogger (Blogspot) dan sebagainya.

Sokongan perkhidmatan URL pendek, dan juga DNS Forwarding turut disertakan melalui DNS Social untuk para penggunanya. Domain berbentuk IDN (iaitu dalam tulisan jawi, tamil, cina dan sebagainya) turut disokong pada DNSSocial, malah terdapat beberapa pengguna yang sudah pun mendaftarkan domain sebegitu, dan ia berfungsi tanpa sebarang masalah padanya. Sokongan IPV6 dan juga DNSSec (sistem keselamatan nama domain) turut disertakan, membolehkan anda terus menggunakan perkhidmatan DNS Social tanpa sebarang masalah dengan perkembangan semasa teknologi.

Bagi anda yang berminat, boleh mendaftarkan akaun anda secara percuma pada DNSSocial, serta mula menguruskan domain anda secara lebih profesional dan percuma melalui perkhidmatan tersebut. Dan jangan lupa memberikan sebarang idea penambah-baikkan, dimana sekiranya bertuah, mungkin ia akan diimplementasi serta-merta oleh pembangunnya.

Cubanya hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd