LINE – Aplikasi Permesejan Dan Panggilan Suara Percuma Pada Pelbagai Platform

LINE – Aplikasi Permesejan Dan Panggilan Suara Percuma Pada Pelbagai Platform

Diterbitkan pada July 3, 2012 oleh .

Pada hari ini, terdapat pelbagai aplikasi permesejan yang mesra pelbagai platform. Salah satu yang popular adalah What’s App. Namun, ia mempunyai sokongan yang agak terhad. Sebagai alternatif lain, salah satu aplikasi yang meningkat popular dikalangan pengguna tempatan akhir-akhir ini adalah LINE.

Untuk makluman, LINE merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat dari Korea Selatan, iaitu NHN Corporation, yang sememangnya popular dengan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan web mereka – NAVER.

Apa yang kami tertarik dengan LINE berbanding platform permesejan yang lain adalah sokongan perisian untuk komputer (Windows), selain daripada aplikasi mudah-alih untuk platform iPhone, Android dan juga Windows Phone.

LINE, seperti pelbagai aplikasi permesejan yang lain, menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma, dan para pengguna sekadar memerlukan talian internet padanya, untuk penghantaran dan penerimaan data. Memandangkan sememangnya kebanyakkan pengguna telefon pintar mempunyai akses internet, ia mungkin bukan suatu masalah yang besar dalam menggunakannya.

Pada awal penggunaannya, ia akan menghantar sebuah kod khas yang dikhaskan kepada nombor telefon anda, dan ia turut membolehkan anda menambah rakan-rakan sedia ada pada Line, berdasarkan kepada rakan anda menggunakan nombor telefon pada buku alamat telefon anda. Untuk pengguna yang ingin menggunakannya pada desktop, ia memerlukan anda terlebih dahulu mendaftar menggunakan telefon bimbit, dan menggunakan nama pengguna yang sama pada komputer.

Dari segi fungsi permesejan yang disertakan pada LINE, ia menyertakan sokongan stiker dan juga emoticons, membolehkan anda menghantar mesej dalam bentuk interaktif dan menarik lagi berbanding aplikasi yang lain. Ia turut menyertakan sokongan permesejan secara berkumpulan, selain pelbagai sokongan asas yang lain padanya.

Dan bertambah menariknya dan apa yang kami gemarkan mengenai LINE adalah sokongan panggilan suara yang turut disertakan, membolehkan anda membuat panggilan kepada rakan-rakan anda di LINE menggunakan data internet, tanpa sebarang caj tambahan. Ini memudahkan anda sekiranya ingin menghubungi mereka dengan lebih pantas, dan menyampaikan sesuatu perkara dengan lebih jelas lagi. Namun, kualiti panggilan dilihat lebih baik apabila disambungkan pada WiFi. Dan seperti biasa, ia masih bergantung kepada kelajuan internet anda sepenuhnya.

Sekiranya anda meminati mengikuti selebriti (terutamanya selebriti Korea), maka ada fungsi khas, membolehkan anda menerima kemaskini dan sebagainya terus daripada mereka, pada aplikasi LINE.

Bagi anda yang gemar dan aktif menggunakan aplikasi seperti What’s App dan sebagainya, mungkin boleh mencuba untuk menggunakan aplikasi ini pada peranti anda hari ini, apatah lagi ia turut memudahkan anda membalas mesej terus menggunakan komputer anda.


TIPS & ULASAN