Sebelum ini, kami ada berkongsi akan mengenai salah satu pencetak terbaru daripada Samsung, iaitu Samsung SCX-3450FW. Selain daripada fungsi seperti EcoPrint (penjimatan ketika mencetak), kebolehan mengimbas dan juga Fax, serta beberapa perkara yang lain, ia juga menyertakan salah satu fungsi yang digemari kami, iaitu kebolehan untuk mencetak terus daripada tablet atau telefon pintar.
Seperti semua sedia maklum, kadangkala, ramai yang menyemak emel pada peranti mudah-alih mereka terlebih dahulu, dan memerlukan mereka mencetak sesuatu dokumen atau gambar yang diterima melalui emel tersebut. Jikalau dahulunya, anda diperlukan untuk membuka komputer untuk dapat mencetaknya, kini tidak lagi, dimana anda boleh terus mencetak daripada telefon pintar dengan pantas.
Untuk menjayakan perkara ini, para pengguna memerlukan sebuah aplikasi tambahan pada peranti mudah-alih mereka, dinamakan sebagai Samsung MobilePrint. Aplikasi percuma ini ditawarkan oleh Samsung bukan hanya melalui Samsung Apps, tetapi turut sama boleh didapati melalui Android Market, dan juga ApPStore.
Namun, untuk menggunakannya, anda memerlukan pencetak Samsung dengan sokongan WiFi, dan salah satunya yang berada di pasaran pada hari ini adalah Samsung SCX-3450FW. Ia terlebih dahulu memerlukan anda menghubungkan pencetak dan pada WiFi anda, dan kemudiannya terus membuat tetapan mudah melalui peranti mudah-alih sebelum dapat mula mencetak dengan mudah.
Daripada ujian ringkas kami, ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah, disamping membolehkan anda mengimbas, serta membuat pilihan apakah yang ingin dicetak.
Samsung MobilePrint juga turut sama menyokong kebolehan untuk mencetak pada pencetak-pencetak Samsung yang lain. Namun, sekiranya anda ingin mencari suatu pencetak baru dengan pelbagai ciri-ciri menarik, mungkin boleh memilih Samsung SCX-3450FW yang bukan sahaja membawakan sokongan percetakan melalui WiFi dan peranti mudah-alih, tetapi turut sama menyertakan sokongan EcoMode, kebolehan Fax dan juga percetakan yang pantas berbanding biasa.