Carian
Ulasan : Komputer Riba HP Folio 13
July 11, 2012 Aman

HP Folio 13, seperti mana yang pernah kami kongsikan sebelum ini merupakan salah satu Ultrabook terbaru yang telah pun mula dijual sejak daripada penghujung tahun lepas di Malaysia, pada harga lebih kurang RM2999. Kami telah berpeluang untuk menggunakannya untuk beberapa minggu, dan berikut merupakan ulasan ringkas kami berkenaan dengannya.

Untuk makluman, sebelum ini, saya pernah menggunakan netbook MSI dengan menggunakan JoliCloud, sebelum menggunakan MacBook White dengan OS X. HP Folio 13 ini adalah komputer riba pertama dengan menggunakan Windows 7 yang digunakan oleh saya buat masa ini, dan sejak menggunakannya saya telah lama tidak menyentuh MacBook White.

Prestasi

Saya percayai ramai yang boleh menyemak spesifikasi asas komputer ini di arena Internet ini. Melalui HP Folio 13 ia dijana menggunakan Intel Core i5 1.6GHz sama seperti yang terdapat pada Acer Aspire S3, menggunakan Windows 7 Home Premium, 4GB RAM, dan membawakan sistem berasaskan 64-bit padanya.

Pada HP Folio 13, salah satu perkara yang digemari oleh saya adalah semestinya kawalan prestasi komputer tanpa melalui skrin boot, selain jangka masa bertahan bateri yang agak lama.

Bercakap mengenai prestasi, HP Folio 13 menyediakan tiga pilihan terbina terus pada Windows 7, iaitu:

  • Power Saver
  • HP Recommended
  • High Performance

Daripadanya juga anda boleh menyesuaikan dengan penggunaan anda, selain turut mengoptimasikan untuk penggunaan masa bateri yang lama. Sehingga kini, daripada kerja biasa yang saya gunakan, seperti mendengar lagu, sambil melayari internet, dan melakukan sedikit proses pengeditan gambar dan sebagainya, ia mampu bertahan sehingga 6 ke 7 jam hanya pada kuasa bateri.

Perkara ini sekaligus menjadikan HP Folio 13 amat berguna bagi mereka yang selalu bergerak dan memerlukan komputer riba bersama mereka.

Dan untuk makluman, HP Folio 13 menggunakan SDD untuk cakera kerasnya, maka pelbagai urusan dapat dilakukan dan sistem operasi dapat dijalankan dengan lebih pantas lagi. Namun, salah satu kekurangan padanya adalah had ruangan storan untuknya. Daripada apa yang kami dapat (tanpa melakukan sebarang partition kembali), HP Folio 13 menyediakan ruangan storan seluas 97GB pada bahagian C, yang mana agak sedikit buat kami.

Sokongan Perisian

Memandangkan HP Folio 13 menggunakan Windows 7 padanya, maka kebanyakkan aplikasi dan perisian disokong tanpa sebarang masalah padanya.

Malah kami juga turut ada mencuba menggunakan Virtual Machine padanya, dan kedua-dua sistem operasi dapat dijalankan tanpa sebarang masalah, dan bergerak lancar tanpa sebarang masa lengah.

Dari segi untuk urusan pejabat, HP Folio 13 didatangkan terbina bersama Microsoft Office Starter, membolehkan anda terus melakukan urusan pejabat anda sebaik sahaja mendapat komputer riba ini. Perisian tambahan yang lain yang turut didatangkan bersama adalah antivirus Norton. Namun, ia hanya didatangkan dengan pilihan penggunaan untuk beberapa hari sahaja.

HP turut menyertakan teknologi Cool Sense pada komputer riba mereka, dimana berbeza dengan beberapa komputer riba yang pernah saya gunakan, ia sentiasa dalam keadaan sejuk dan tidak begitu panas walaupun digunakan untuk suatu jangka masa yang lama.

Kepermainan

Salah satu perkara biasa yang ditanya kepada kami adalah sokongan kepermainan pada Ultrabook. Walaupun kami tidak pasti berkenaan dengan jenama lain, namun melalui HP Folio 13, pelbagai permainan dapat dimainkan tanpa sebarang masalah padanya.

Saya sendiri sedia memasang dua permainan pada HP Folio 13, iaitu Max Payne 3 dan juga Assassin’s Creed Revelations, dan kedua-duanya dapat dimainkan tanpa sebarang masalah. Namun, memandangkan ianya hanya pada komputer riba, maka hanya dimainkan pada kualiti medium sahaja, dengan pilihan tetapan High Performance pada pilihan kuasa dan bateri.

Pengaturcaraan / Grafik

Bagi para pengguna yang ingin menggunakan untuk pengaturcaraan dan sebagainya, mungkin tidak mempunyai sebarang masalah. Pada masa yang sama, kami turut sama mencuba aplikasi Adobe Photoshop dan sebagainya, dan ia dapat dikendalikan tanpa sebarang masalah, walaupun dengan pelbagai tab pelayar web dan beberapa aplikasi lain berjalan sama.

Untuk pengeditan video pula, Windows Live Movie Maker yang disertakan dapat mengendalikan video sehingga 1080p tanpa sebarang masalah. Dalam beberapa video HD yang dimuat-naik kami akhir-akhir ini pada YouTube, kami dapat melaksanakannya dengan pantas, dan sejujurnya lebih pantas daripada MacBook White yang digunakan saya sebelum ini. Perkara ini mungkin disebabkan penggunaan cip pemprosesan dan pelbagai spesifikasi tinggi yang dibawakan olehnya.

Lain-Lain

Sokongan audio pada HP Folio 13 boleh dikatakan salah satu perkara yang baik, apatah lagi didatangkan dengan Dolby Advanced Audio.

Selain daripada itu, memandangkan saya menggunakan MacBook White sebelum ini, sokongan multitouch sama untuk trackpad turut sama boleh digunakan pada HP Folio 13 tanpa sebarang masalah. Namun, dari segi penggunaan touchpad pada mulanya ia kelihatan agak sukar untuk dikendalikan. Tetapi setelah beberapa jam menggunakannya, ia boleh dibiasakan.

Beli atau Tidak

Sekiranya anda ingin mencari sebuah komputer riba pada harga lingkungan RM3,000, mungkin HP Folio 13 merupakan salah satu pilihan yang baik, dimana bukan sahaja boleh melakukan pelbagai urusan pejabat dengan mudah, tetapi turut sama boleh digunakan untuk mengaturcara, merekabentuk dan sebagainya.

Faktor nipis dan ringan juga amat menambah nilai pada HP Folio 13 ini, apatah lagi amat sesuai dengan mereka yang memerlukan komputer riba ke mana sahaja mereka pergi.

Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan HP Folio 13 terus daripada pengedar rasmi HP seluruh negara pada harga RM2999.

Kelebihan

  • Mempunyai ruangan sokongan kabel LAN
  • Sokongan backlit untuk bekerja di gelap. Papan kekunci yang selesa untuk menaip.
  • Ringan dan nipis, sesuai untuk dibawa kemana jua tanpa sebarang masalah.
  • Masa bertahan bateri sehingga 7 jam, membolehkan anda bekerja dengan lebih mudah, tanpa risau mencari plug dan sebagainya.
  • Prestasi penggunaan yang baik, membolehkan anda melakukan pelbagai urusan dengan lebih pantas dan cepat, sekaligus menjimatkan masa anda.

Kekurangan

  • Trackpad yang agak kurang selesa, dan pada masa yang sama meninggalkan kesan penggunaan cap jari padanya.
  • Bateri tidak boleh ditanggalkan
Komen