Selain daripada aplikasi Firefox, Thunderbird dan juga Firefox OS, tahun ini juga Mozilla turut memberikan perhatian utama mereka kepada sistem identiti mereka, yang dijenamakan daripada BrowserID kepada Mozilla Persona baru-baru ini. Dan hari ini, laman untuknya telah pun diaktifkan.
Bagi para pengguna Firefox, semestinya mengenali akan Personas yang sebelum ini merupakan laman untuk tema-tema pelayar web Firefox. Setelah mengumumkan penjenamaan semula, Personas yang asalnya telah dipindahkan ke lokasi lain, dan kini laman Mozilla Persona diaktifkan dengan sokongan identiti tersebut.
Mozilla mengatakan ianya merupakan salah satu langkah persiapan sebelum versi beta untuk sistem identiti tersebut dilancarkan pada pertengahan Ogos kelak. Ia masih lagi pada peringkat ujian dan pembangunan buat masa ini, dan mungkin kelak kita akan dapat melihat ianya diintegrasikan bukan hanya pada web sahaja, tetapi turut sama pada Firefox OS yang bakal dilancarkan pada awal tahun hadapan. Sama-sama kita nantikannya.