Cari @ Amanz

Pada Linux, salah satu perkara yang diminati kami adalah kebolehan untuk mengemaskini terus melalui Terminal dengan mudah. Namun, pada Windows kebanyakkan perisian perlu dikemaskini secara manual, yang memakan sedikit masa untuknya. Untuk memudahkan para pengguna Windows, salah satu aplikasi yang memudahkan proses mengemaskini adalah Appupdater.

Appupdater merupakan perisian percuma, membolehkan anda menyemak senarai aplikasi yang sedia terpasang pada komputer anda, dan mengetahui sama ada terdapat sebarang versi baru untuknya ataupun tidak. Sekiranya ya, anda boleh memuat-turun terus daripada aplikasi tersebut serta-merta, dan mengemaskini perisian anda.

Disamping itu, anda juga turut sama boleh menggunakan Appupdater dalam mencari perisian percuma untuk komputer anda, yang mana kebanyakkan merupakan aplikasi berasaskan sumber terbuka.

Walaubagaimanapun, melalui Appupdater, kemaskini yang diperlihatkan adalah bukan dalam masa-nyata, dan mengambil sedikit masa sebelum kemaskini diperlihatkan padanya. Perkara ini kami perasan apabila pemain media VLC telah mengeluarkan kemaskini versi 2.0.2, tetapi pada Appupdater masih memaparkan versi 2.0.1.

Namun, ia merupakan salah satu aplikasi yang memudahkan anda mengemaskini semua perisian yang sedia terpasang pada komputer anda dengan hanya beberapa klik sahaja. Sekiranya berminat, anda boleh memuat-turun Appupdater hari ini untuk Windows, dan mencubanya sendiri.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd