Pada Google I/O yang lepas, bersama-sama pengumuman mengenai Android 4.1 Jelly Bean, salah satu perkara yang turut menarik minat para pengguna adalah tablet terbaru berjenama Nexus, iaitu Nexus 7. Buat masa ini, ia masih lagi tidak diketahui bilakah ia akan mula dijual di Malaysia secara rasminya, walaupun terdapat beberapa penjual bebas yang mula mengambil tempahan untuknya.
Kami berpeluang mencuba sendiri secara ringkas pada acara MobileFest, sekaligus pada masa yang sama mencuba Jelly Bean yang didatangkan bersama-sama dengannya. Daripada segi spesifikasi, ia membawakan skrin seluas 7-inci dengan resolusi 1280×800 dan sokongan paparan HD, kamera hadapan 1.2-megapixel, sokongan NFC, dan cip pemprosesan empat-teras Tegra 3.
Daripada apa yang kami cuba sendiri, ia membawakan paparan yang menarik, sesuai untuk membaca dan juga untuk bermain permainan digital padanya. Ia juga membawakan berat yang amat bersesuaian, membolehkan anda mengendalikannya dengan hanya sebelah tangan.