Carian
Bagaimana Menggunakan iPad Sebagai Monitor Tambahan?
July 16, 2012 Aman

Kadangkala, ketika membuat sesuatu kerja, mungkin anda memerlukan monitor tambahan untuknya, dan untuk menjimatkan kos, anda mungkin boleh menggunakan iPad anda untuk dihubungkan kepada komputer, dan menggunakannya sebagai monitor tambahan.

Untuk menjayakan perkara ini, terlebih dahulu anda memerlukan perisian AirDisplay dipasang pada komputer dan juga iPad anda. Untuk komputer, AirDisplay ditawarkan untuk para pengguna Mac dan juga Windows secara percuma, manakala untuk iPad ia didatangkan secara berbayar pada harga $9.99.

Sebaik sahaja anda mempunyai aplikasi tersebut sedia terpasang, terlebih dahulu, kedua-duanya perlu disambungkan kepada talian WiFi yang sama untuk beroperasi. Selesai disambungkan kedua-dua peranti tersebut, maka anda perlu mulakan aplikasi AirDisplay pada iPad.

Sebaik sahaja dimulakan pada iPad, anda akan dapat melihat pilihan iPad berkenaan pada Windows anda, dan boleh membuat pilihan untuknya. Ia kemudiannya akan dihubungkan, dan anda boleh mula mengubah beberapa tetapan seperti kedudukan iPad tersebut dan sebagainya. Perkara ini boleh diakses dengan mudah melalui pautan Display Arrangements.

Menariknya, ketika anda menggunakan aplikasi Windows pada iPad, ia turut didatangkan dengan sokongan sentuhan, membolehkan anda mengawalnya melalui sentuhan. Selain daripada itu, papan kekunci atas skrin turut didatangkan dengan beberapa pilihan tambahan, termasuk butang Start padanya.

Jadi, bagi anda yang inginkan sebarang skrin tambahan, mungkin boleh gunakan AirDisplay. Dan sekiranya anda mempunyai sebarang alternatif lain, jangan lupa berkongsi dengan kami.

Komen