Pada dunia internet hari ini, antara perkara yang diambil kira dalam menentukan sesuatu web itu mesra pengguna ataupun tidak, salah satunya adalah dengan mengukur masa respon dan juga kadar keaktifan sesuatu laman itu.
Dengan mengambil kira kedua-dua perkara ini, ZDNet hadir dengan laporan prestasi beberapa laman web di rantau Asia Pasifik yang diambil pada penghujung tahun lepas, sekaligus memperlihatkan dengan lebih dekat berkenaan kedudukan laman web dari Malaysia dengan negara lain.
Daripada laporan yang dikeluarkan, ia meletakkan laman web Hong Leong Bank pada kedudukan teratas dengan masa respon purata pada 5.34 saat, lebih pantas sebanyak 0.17 saat berbanding Public Bank.
Dari segi kebolehan akses sesuatu laman pada bila-bila masa tanpa gangguan pula, Bank Islam menduduki tangga teratas, diikuti oleh Public Bank dan juga CIMBClicks. Dan daripada data yang dikeluarkan, laman perbankan popular Maybank, menduduki tangga ke-10 daripada senarai laman perbankan terbaik di Malaysia.