Sebelum ini, ia telah diperkatakan Nokia menyediakan sebuah kejutan pada 5 September kelak. Dan kini, beberapa ura-ura awal mengatakan Nokia bakal memperkenalkan dua peranti Nokia Lumia baru yang menjalankan Windows Phone 8 pada hari tersebut.
Ia dikatakan, dua peranti tersebut kelak adalah Nokia Lumia 910 dan juga Nokia Lumia 920. Daripada penggunaan angka, ia boleh dikatakan kedua-dua peranti tersebut kelak akan membawakan kemaskini kecil berbanding peranti Nokia Lumia 900 pada hari ini.
Bersama-sama dengannya, semestinya salah satu perkara yang dinantikan adalah platform Windows Phone 8 sendiri, dan beberapa ciri-ciri eksklusif yang disertakan oleh Nokia.
Sebelum ini, melalui pengenalan platform ringkas untuk Windows Phone 8, Microsoft mengatakan ia akan membawakan sokongan NFC, skrin utama yang boleh diubah saiz live-tilenya, dan pelbagai perkara tambahan padanya.