Mungkin para pengguna sedia mengenali akan aplikasi Quran360 untuk Android dan juga versi web. Kini pembangun yang sama, turut memperkenalkan aplikasi mereka untuk pengguna Windows Phone, dimana boleh dimuat-turun daripada Marketplace.
Seperti pada namanya, melalui Quran360, ia membolehkan anda membawa kandungan al-Quran kemana sahaja dan mengakses dengan mudah terus pada peranti mudah-alih Windows Phone anda dimana-mana anda berada.
Aplikasi Quran360 bukan sahaja membolehkan anda membaca ayat suci al-Quran dalam bahasa Arab, malah ia turut menyertakan terjemahan, selain turut menyertakan pelbagai fungsi lain, termasuk sokongan carian perkataan dalam al-Quran terjemahan, membaca indeks dengan mudah, serta berkongsi ayat al-Quran kegemaran terus melalui Twitter, Facebook ataupun emel.
Aplikasi ini ditawarkan pada harga RM2.99 melalui Marketplace, dan bagi anda yang berminat mungkin boleh mencuba versi percubaan percuma yang disertakan bersama dengannya. Selain daripada untuk Windows Phone, anda juga boleh mencuba versi Android yang telah sedia pada Google Play Store.