Cari @ Amanz

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, banyak perubahan yang kita dapat saksikan dalam tempoh sedekad dua ini. Horizon pemikiran manusia yang kian pantas berkembang, telah membawa kita kepada kemajuan dunia pengkomputeran yang kian gemilang. Rentetan daripada itu, syarikat gergasi dunia, Apple, membawakan OS X Mountain Lion, tampil dengan wajah baru yang disulami tekad.

Kecantikan ilustrasi kehidupan Mountain Lion pada kali ini dilakar dengan teliti oleh pihak Apple dengan menghadirkan beberapa fungsi baru yang mana sejumlah besarnya diadaptasikan daripada iOS milik mereka. Menurut perangkaan statistik, sebagaimana yang kita maklumi, syarikat gergasi dunia yang berpengaruh ini telah membawakan sebanyak 200 fungsi baru pada OS X Mountain Lion. Antara fungsi yang diberi perhatian ialah fungsi pengkomputeran awan, dinamakan iCloud, yang dilihat cukup signifikan pada masyarakat era dotkom ini.

Menyedari dengan jelas akan hakikat ini, OS X Mountain Lion dilihat mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu. Selain daripada pembaharuan dari segi fungsi, turut diberi fokus dalam pembangunan OS X ialah pengintegrasian pintar antara peranti Apple. Peranti-peranti pintar Apple seperti iPhone, iPad, dan juga iPod touch kini dapat berinteraksi dengan sempurna bersama Mountain Lion. Teringat akan penulis dengan satu kata pujangga, “masa itu umpama air pasang surut, tiada siapa yang dapat menahannya”, saya, Arib Ismail selaku penulis pada ulasan kali ini akan menerangkan beberapa fungsi dan perubahan yang dibawa oleh OS X Mountain Lion.

Pemasangan

Dalam ulasan kali ini, pemasangan OS X Mountain Lion dilakukan pada sebuah MacBook lama iaitu model MacBook 13” awal 2009. Walaupun model MacBook ini sudah menjangkau usia lebih daripada 3 tahun, pihak Apple masih lagi menyertakan sokongan ke atasnya, dan ini sedikit sebanyak menimbulkan beberapa persoalan segenap pengguna barangan Apple. Jika dilihat daripada strategi pemasaran produk Apple, peranti yang berusia lebih 3 tahun mungkin tidak lagi menyokong sebarang pengemaskinian yang terkini. Apa pun lontaran yang dilakukan ke atas MacBook model lama ini, OS X Mountain Lion kelihatan tetap gagah mendaki tanpa dikurangkan dari sudut prestasi. Berikut merupakan spesifikasi MacBook yang digunakan dalam ulasan ini.

  • Model: MacBook 13” awal 2009 (MacBook5,2)
  • Tarikh Pengeluaran: 21 Januari 2009
  • Processor: Intel Core 2 Duo 2.0 GHz (P7350)
  • RAM: 2GB (2x 1GB 667 MHz PC2-5300)
  • Skrin: 13.3-inci glossy widescreen LCD dengan resolusi 1280×800
  • Grafik: Nvidia GeForce 9400M (256MB RAM)
  • Cakera Keras: 120GB (45GB untuk BootCamp Windows 7)
  • Sistem Operasi: OS X Mountain Lion 10.8 (Binaan 12A269)

Pemasangan yang dilakukan dalam ulasan ini menggunakan storan flash USB 8GB dengan kaedah clean install. Apa yang menarik tentang OS X, untuk menjadikan storan flash sebagai bootable drive untuk pemasangan OS X, pengguna hanya perlu menggunakan Disk Utility yang sudah sedia ada dalam OS X pengguna. File berformat .DMG OS X Mountain Lion yang dimuat turun akan dimount terlebih dahulu dan akan diproses melalui kaedah delete storan flash (format semula ke Mac OS X Journal) dan seterusnya melalui proses restore file DMG yang telah dimount itu tadi. Cukup mudah.

Selepas menjadikan storan flash USB sebagai bootable drive, MacBook ini telah direstart dan sebelum MacBook memaparkan logo Apple, butang option (alt) telah dihold supaya proses boot dari storan flash USB tersebut dapat dijalankan. Selepas memilih storan flash USB sebagai tempat untuk boot, penulis telah dibawa ke ruangan setup OS X Mountain Lion untuk proses pemasangan. Proses pemasangan ini berjalan sekitar kira-kira 30 minit sebelum MacBook ini sedia untuk digunakan.

Antara Muka Pengguna

Desktop

Sistem operasi OS X sudah semestinya terkenal dengan gaya yang kemas dan elegan. Susunan beberapa elemen seperti Dock dan Menu Bar menjadikan OS X tampil anggun mempesona tatkala dilihat dari retina mata pengguna. Pada versi Mountain Lion, sama seperti versi sebelumnya, jenis gambar latar belakang yang berunsur galaksi masih lagi dikekalkan.

Finder

Finder merupakan sejenis aplikasi explorer yang hadir dalam OS X bagi memudahkan pengguna untuk menyusun atur segala file yang berada di dalam Mac. Pada versi Mountain Lion, antara muka Finder masih lagi sama seperti versi terdahulunya.

Dock

Melalui Mountain Lion, Dock kini tampil dengan antara muka yang agak solid, seiring dengan arus reka bentuk terkini yang menekankan antara muka yang ringkas, kemas, dan kurang kesan glass serta reflection.

Launchpad

Bermula daripada versi Lion, Launchpad diwujudkan sebagai tempat untuk melancarkan sesuatu aplikasi dengan mudah dan pantas. Antara muka Launchpad yang unik ini memberikan pengalaman seakan-akan menggunakan peranti iOS seperti iPad kepada pengguna. Kini, Launchpad hadir dengan paparan ikon yang lebih besar dan hadir dengan fungsi search.

Aplikasi Dan Fungsi

iCloud

Antara fungsi yang ditekankan dalam Mountain Lion ini ialah fungsi iCloud, yang mana fungsi ini akan menyimpan dan mengemas kini segala e-mel, kalendar, contacts, reminders, dokumen, serta notes pengguna tidak kira di mana jua antara peranti iOS dan Mac. Apabila pengguna menambah, mengubah, atau membuang sesuatu di dalam Mac, perkara sedemikian juga akan dilakukan di dalam peranti iOS pengguna secara automatik. Perkara seperti ini sekaligus menjimatkan masa pengguna dalam mengurus sesuatu tugasan aplikasi. Dengan hanya perlu log masuk Apple ID, kesemuanya diurus dan dilakukan oleh iCloud.

Notification Center

Perubahan drastik yang dapat disaksikan dalam Mountain Lion ialah kehadiran fungsi Notification Center, suatu fungsi yang biasa pengguna dapat lihat dalam peranti iOS. Kehadiran fungsi ini membolehkan pengguna untuk melihat sesuatu tugasan seperti kalendar dan tweet dari Twitter dengan mudah tanpa membuka sebarang aplikasi. Selain itu, pengguna juga boleh menulis tweet terus dari fungsi ini dan ini sangat berguna kepada pengguna yang gemar mengemaskini Twitter mereka. Fungsi ini dapat diaktifkan dengan menekan icon Notification Center yang berada di bahagian kanan akhir Menu Bar.

Sharing

Dengan kemajuan arena jaringan sosial serta perkomputeran awan, pihak Apple mengambil inisiatif untuk mengimplementasikan fungsi ini di dalam Mountain Lion. Pengguna dapat berkongsi seperti gambar, video, serta file peribadi pengguna melalui aplikasi seperti Mail, Messages, dan AirDrop. Selain itu, fungsi ini juga memudahkan pengguna berkongsi link laman web terus dari Safari tanpa melakukan sebarang aksi copy dan paste.

Messages

Fungsi iMessages yang kian popular pada iPhone, iPad dan juga iPod touch kini boleh didapati di dalam Mac juga, dinamakan sebagai aplikasi Messages. Melalui Messages, pengguna boleh berhubung antara peranti iOS dan Mac dengan mudah dan proses penghantaran gambar, video, dokumen, serta contacts juga dapat dilakukan di dalam aplikasi ini. Apa yang menarik lagi, fungsi Messages juga membolehkan pengguna melakukan FaceTime terus dari aplikasi tersebut tanpa membuka aplikasi FaceTime yang tersedia di dalam OS X.

Reminders

Fungsi Reminders yang diperkenalkan di dalam iOS melalui iOS 5 kini turut hadir di dalam OS X Mountain Lion. Segala tugasan yang ingin dilakukan dapat disenaraikan di dalam satu tempat, dan dengan bantuan iCloud, tugasan yang ditulis di dalam Mac terus akan dikemaskini ke dalam peranti iOS pengguna.

Notes

Selain daripada fungsi Reminders yang diambil dari iOS, fungsi Notes juga menjadi salah satu fungsi yang didatangkan di dalam Mountain Lion. Fungsi ini membolehkan pengguna mencatat segala perkara yang berada di fikiran pengguna sebelum ia terlupa begitu saja. Mungkin juga sedang melayari laman web, terjumpa sesuatu yang berguna dan boleh dicatatkan di dalam aplikasi Notes ini. Sama seperti aplikasi Reminders, segala nota yang ditulis di dalam Notes akan dikemaskini dengan iCloud, memudahkan pengguna melihat semula nota tersebut di dalam peranti iOS.

Safari

Pada versi Mountain Lion, aplikasi pelayar web OS X telah didatangkan dengan Safari 6 yang membawa beberapa fungsi baru. Antara fungsi yang dapat dilihat seperti pengintegrasian iCloud dan juga fungsi Sharing. Dari segi antara muka, fungsi Reader kini membawa bentuk butang yang lebih besar, selain membawa perubahan dari segi kedudukan Tab pelayar web tersebut. Safari 6 juga hadir dengan satu fungsi baru yang dinamakan Tab View, membolehkan pengguna melihat gambaran laman web yang sedang berada pada Tab dan membuat pertukaran antara Tab tersebut.

Contacts

Seperti mana yang berada di dalam versi OS X sebelum ini, fungsi yang dahulunya dipanggil Address Book ini telah dijenamakan sebagai Contacts, membolehkan pengguna menyimpan segala maklumat perhubungan seperti e-mel dan nombor telefon di dalam satu aplikasi. Pada versi Mountain Lion, aplikasi Contacts hadir dengan fungsi Groups column, memudahkan pengguna melihat senarai contact dengan mudah melalui pembahagian jenis contact itu sendiri seperti group keluarga, kenalan pejabat, dan sebagainya. Aplikasi Contacts di dalam Mountain Lion juga didatangkan dengan Unified view, yang mana kesemua maklumat perhubungan seseorang disatukan dalam satu paparan. Walaupun contact tersebut mempunyai nombor telefon di Yahoo! dan alamat e-mel kepunyaannya berada di dalam iCloud, kesemuanya dipaparkan dalam satu.

Calendar

Melalui Mountain Lion, aplikasi iCal kini dijenamakan semula dengan panggilan Calendar dan diperbaharui dengan kehadiran beberapa fungsi baru. Fungsi calendar sidebar membolehkan pengguna untuk memaparkan senarai tugasan di dalam kalendar pada sidebar. Selain itu, turut hadir juga ialah fungsi search suggestions dan search tokens, memudahkan pengguna membuat carian dengan senarai suggestions yang diberi. Bagi yang gemar mengurus tugasan melalui aplikasi Calendar ini, fungsi new date picker memudahkan pengguna untuk menukar tarikh sesuatu tugasan atau events melalui paparan mini calendar.

Dashboard

Aplikasi Dashboard kini telah dipertingkatkan dalam Mountain Lion dengan kehadiran suatu fungsi yang dinamakan widget browser. Kehadiran fungsi ini memudahkan pengguna untuk mencari widget yang berada di dalam Mac mereka. Selain itu, turut hadir dalam aplikasi ini ialah sokongan search widgets, membenarkan pengguna mencari widget dengan menjalankan proses pencarian. Pengguna hanya perlu menaip nama widget yang ingin dicari dan seterusnya Dashboard akan memaparkan widget tersebut kepada pengguna.

Mail

Aplikasi Mail turut diberi pembaharuan di dalam versi Mountain Lion. Aplikasi ini kini hadir dengan fungsi yang dinamakan VIP. Pengguna boleh menjadikan seseorang yang terpenting seperti pengarah syarikat dengan menjadikannya VIP. Fungsi ini boleh dilakukan dengan menekan icon star selepas nama penghantar e-mel tersebut yang berada di bahagian atas kandungan mesej. Masih dengan fungsi VIP juga, aplikasi Mail turut didatangkan dengan fungsi VIP smart mailbox. Fungsi ini memudahkan pengguna melihat e-mel yang dihantar dari VIP yang telah dipilih pengguna tersebut. Kehadiran fungsi seperti ini dilihat sangat berguna bagi mengelakkan sebarang e-mel penting terutamanya yang berkaitan dengan hal pekerjaan terlepas pandang begitu sahaja. Fungsi ini dapat diaktifkan dengan membuat klik pada VIP smart mailbox di ruangan favorites bar.

Photo Booth

Aplikasi Photo Booth membolehkan pengguna mengambil gambar melalui kamera iSight yang hadir pada Mac. Photo Booth juga didatangkan dengan sokongan beberapa kesan khas, menjadikan gambar kelihatan agak lucu dan menarik. Melalui Mountain Lion, Photo Booth telah hadir dengan sokongan Share, membenarkan pengguna berkongsi gambar yang diambil dari Photo Booth dengan mudah melalui AirDrop, Messages, Mail, Facebook, Twitter, Flickr, dan Vimeo. Selain daripada sokongan sharing, Photo Booth kini membolehkan pengguna menetapkan gambar yang diambil sebagai gambar profile Twitter.

Mac App Store

Sokongan Mac App Store yang diperkenalkan sejak dari versi Lion kini diteruskan dalam versi Mountain Lion. Fungsi Mac App Store ini membenarkan pengguna untuk memuat turun dan membeli aplikasi dengan mudah pada Mac. Antara penambahbaikan yang dapat dilihat dalam Mountain Lion kini ialah sokongan notifications. Mac App Store akan memberitahu pengguna sekiranya terdapat kemas kini yang terbaru untuk aplikasi yang berada di dalam Mac mereka. Selain itu, turut dapat disaksikan ialah sokongan Share button dalam fungsi ini, membolehkan pengguna berkongsi link dari Mac App Store melalui aplikasi Messages, Twitter, mahupun Facebook. Apa yang telah dipertingkatkan lagi dalam fungsi ini, sokongan software updates OS X telah disatukan melalui Mac App Store, menjadikan fungsi ini sebagai pusat untuk mengemas kini aplikasi Mac dan juga OS X.

QuickTime X

Pada versi Mountain Lion ini, QuickTime X kini hadir dengan fungsi high-performance H.264 encoding. Apabila pengguna memilih setting standard HD untuk mengeksport sesuatu video, QuickTime Player mengambil kelebihan yang ada pada hardware Mac untuk kepantasan encoding secara optimum.

Power Nap

Melalui Power Nap, Mac yang berada dalam mod sleep masih boleh mendapatkan kemas kini yang terkini. Segala informasi pengguna seperti e-mel, notes, reminders, dan messages dikemaskini walaupun Mac berada dalam mod tersebut. Selain mengemaskini informasi yang berkaitan dengan pengguna, Power Nap juga melakukan tugasan seperti Time Machines bakcup ke Time Capsule dan memuat turun software update OS X. Jadi, apabila Mac dihidupkan semula, segala informasi pengguna seperti e-mel sudah tersedia untuk dilihat dan pemasangan software update OS X sedia untuk dijalankan.

Dictation

Salah satu fungsi yang kian menjadi trend dalam sesuatu produk komputer hari ini adalah dengan kehadiran fungsi penterjemahan teks dari suara. Di dalam Mountain Lion, fungsi ini dinamakan sebagai Dictation. Fungsi yang berpotensi menterjemah suara ke teks ini dapat digunakan dalam mana-mana aplikasi di dalam Mountain Lion sekaligus memudahkan pengguna memasukkan teks ke Mac. Untuk mengaktifkannya, pengguna boleh menggunakan keyboard shortcut dengan menekan dua kali pada Function key dan menekannya dua kali sekali lagi selepas selesai memasukkan input suara.

Sokongan Twitter

Dengan hanya log masuk sekali sahaja, akaun Twitter pengguna akan disetup untuk digunakan pada aplikasi di dalam Mountain Lion. Melalui sokongan ini, pengguna boleh tweet links laman web atau gambar terus dari Safari, Preview, Photo Booth, dan Quick Look tanpa perlu log masuk dan menggunakan aplikasi yang lain. Selain itu, kehadiran fungsi ini juga membenarkan seseorang pengguna log masuk seberapa jua akaun Twitter yang ada melalui sokongan multiple Twitter accounts. Apa yang menarik lagi di dalam Mountain Lion, sokongan Twitter turut hadir dengan Twitter notifications, membolehkan seseorang pengguna melihat mention atau direct message Twitter terus dari paparan desktop.

AirPlay Mirroring

Memaparkan kandungan dari komputer ke paparan yang lain secara wayarles sudah semestinya dilihat menarik dan memudahkan pengguna dalam berkongsi skrin komputer mereka tanpa diguna sebarang penggunaan wayar. Kesemua ini dapat dilakukan dengan fungsi AirPlay Mirroring, membolehkan pengguna memaparkan apa yang berada pada skrin Mac terus ke kaca HDTV secara wayarles melalui Apple TV. Fungsi AirPlay Mirroring ini turut menyokong sehingga ke paparan HD 1080p, menjadikan gambar atau video yang dipaparkan pada HDTV kelihatan sangat jelas tanpa dikurangkan dari segi kualiti.

Auto Save

Fungsi Auto Save yang amat berguna bagi segenap pengguna ini turut dititikberatkan dalam OS X Mountain Lion. Fungsi yang hadir seperti revert to last saved memudahkan pengguna untuk undo segala perubahan yang dibuat sehingga ke masa terakhir sesuatu dokumen itu disave. Selain itu, fungsi move to iCloud membolehkan pengguna untuk move sesuatu dokumen ke iCloud terus dari menu dokumen tersebut. Apa yang menarik lagi, fungsi Auto Save ini juga membolehkan pengguna rename sesuatu dokumen terus dari title bar.

Game Center

Fungsi yang agak popular di dalam iOS iaitu Game Center kini turut boleh didapati dalam OS X Mountain Lion. Fungsi ini bertindak sebagai pusat untuk melihat progress permainan yang dimainkan oleh pengguna. Melalui Game Center, pengguna dapat melihat paparan markah, achievements, dan berkenalan dengan pengguna yang lain melalui gaming network. Selain itu, Game Center juga membolehkan pengguna memainkan permainan multiplayer antara Mac dan peranti iOS seperti iPhone, iPad, atau iPod touch dengan mudah bersama rakan kenalan. Apa yang menarik lagi, aplikasi Chess yang tersedia di dalam OS X kini telah mempunyai sokongan Game Center.

Gatekeeper

Bahagian sekuriti di dalam OS X kini diperketatkan lagi dengan kehadiran satu aplikasi baru yang dinamakan Gatekeeper. Melalui aplikasi ini, Gatekeeper akan memberikan pilihan sekuriti semasa memasang sesuatu aplikasi di dalam Mac. Untuk pilihan sekuriti yang maksimum, pengguna perlu menetapkan hanya aplikasi yang di muat turun melalui Mac App Store atau aplikasi yang dibangunkan oleh developer yang mempunyai Developer ID sahaja boleh dipasang pada Mac. Gatekeeper juga akan memberitahu sekiranya ada aplikasi yang hendak dipasang adalah bukan daripada developer yang tidak mempunyai Developer ID dan dimuat turun dari sumber internet yang tidak dikenali. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan aplikasi yang terdedah dengan malware dipasang di dalam Mac. Namun begitu, pengguna tidak perlu berasa risau kerana aplikasi yang dimuat turun daripada mana-mana sumber internet masih boleh dipasang pada Mountain Lion ini dan Gatekeeper sekadar memberi pilihan sekuriti kepada Mac.

Kompatibiliti

OS X Mountain Lion yang kaya dengan pelbagai fungsi ini telah terhad kepada beberapa jenis model Mac sahaja. Tindakan ini diambil oleh pihak Apple demi memastikan kelancaran pengalaman dalam menggunakan OS X. Berikut merupakan keperluan sistem untuk pemasangan OS X Mountain Lion.

  • Sekurang-kurangnya mempunyai 2GB RAM
  • Ruangan tersedia sebanyak 8GB pada cakera keras atau storan solid state
  • Untuk menaik taraf dari versi lama OS X, Mac mestilah menjalankan sekurang-kurangnya OS X versi v10.6.8

Walau bagaimanapun, menurut daripada halaman rasmi Apple, OS X Mountain Lion hanya menyokong secara rasmi pada beberapa model Mac yang berikut.

  • iMac (pertengahan 2007 dan terkini)
  • MacBook (akhir 2008, awal 2009 dan terkini)
  • MacBook Pro (pertengahan/akhir 2007 dan terkini)
  • MacBook Air (akhir 2008 atau terkini)
  • Mac Mini (awal 2009 atau terkini)
  • Mac Pro (awal 2008 atau terkini)
  • Xserve (awal 2009)

Untuk sokongan AirPlay Mirroring, hanya beberapa model Mac yang disokong dan tidak semua model yang dapat menjalankan Mountain Lion boleh menggunakan fungsi ini. Berikut merupakan model Mac yang menyokong fungsi AirPlay Mirroring.

  • iMac (pertengahan 2011 dan terkini)
  • Mac mini (pertengahan 2011 dan terkini)
  • MacBook Air (pertengahan 2011 dan terkini)
  • MacBook Pro (awal 2011 dan terkini)

Seperti mana fungsi AirPlay Mirroring, fungsi AirDrop yang diperkenalkan sejak dari Mac OS X Lion juga hanya boleh dijalankan pada beberapa model Mac yang tertentu sahaja. Berikut merupakan model Mac yang menyokong fungsi AirDrop.

  • MacBook Pro (akhir 2008 dan terkini)
  • MacBook Air (akhir 2010 dan terkini)
  • MacBook (akhir 2008 dan terkini)
  • iMac (awal 2009 dan terkini)
  • Mac mini (pertengahan 2010 dan terkini)
  • Mac Pro (awal 2009 dengan AirPort Extreme card dan terkini)

Konklusi

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa Mountain Lion dilihat berjaya menjadikan OS X dan peranti iOS dapat digunakan dengan efektif lagi. Gandingan antara OS X dan iOS kini dipereratkan dengan kehadiran beberapa fungsi seperti iCloud, menjadikan sistem operasi dari Apple ini matang dari segi pengintegrasian antara peranti keluaran mereka. Selain itu, turut dapat disaksikan ialah Apple juga berjaya mengimplementasikan beberapa fungsi dari mobile OS mereka iaitu iOS kepada Mountain Lion seperti Notification Center, Reminders, Notes, dan Game Center tanpa mengubah pengalaman menggunakan fungsi tersebut pada Mac.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah kurangnya sokongan ke atas peranti Mac. Perkara ini menyebabkan segelintir pengguna Mac generasi lama tidak dapat menguntumkan senyuman yang melebar dan hati mereka tentunya remuk-redam menanggung kekecewaan. Selain itu, perubahan antara muka pada Dock kepada reka bentuk solid tidak menyelarkan kecantikan pada pandangan sarwa penulis. Impak daripada hal ini menyebabkan retina mata penulis kadangkala lesu melihat perubahan ini. Elemen tarikan seperti reflection glass yang ada pada Dock OS X Lion menjadikan penulis cukup teruja ketika kali pertama menggunakan Mac.

Walau bagaimanapun, kegagahan Mountain Lion tetap dipuji, baik dari segi prestasi dan pengalaman pengguna dalam menggunakannya. Ekspedisi Mountain Lion dalam membawa pembaharuan dan penambahbaikan ini cukup memberi kepuasan dalam menggunakan Mac, menjadikan OS X berperanan lebih proaktif berbanding versi sebelum ini. Dengan hanya $20 sahaja, menaiktaraf ke OS X Mountain Lion dikira sangat bernilai dan bertepatan dengan apa yang diberi. Tambahan pula, dengan hanya satu pembelian OS X, pengguna dapat memasang dan menggunakannya pada seberapa banyak Mac yang ada dengan syarat Mac tersebut digunakan secara persendirian sahaja. Mudah-mudahan segala pembaharuan yang dibawa OS X Mountain Lion ini dapat merealisasikan impian, harapan, dan aspirasi dunia pengkomputeran ke puncak kegemilangan.

Pro

  • Pengintegrasian pintar antara peranti Apple (iOS dan Mac) kini dipermudahkan
  • Harga pembelian OS X dikurangkan kepada $19.99 USD sahaja (sebelum ini $29.99 USD)
  • Fungsi Notification Center memudahkan pengguna melihat sesuatu tugasan atau notification dari aplikasi
  • Pelbagai aplikasi sudah dipertingkatkan dari segi fungsi

Kontra

  • OS X Mountain Lion tidak menyokong sebilangan besar komputer Apple generasi lama, walaupun menepati keperluan sistem yang diberi
  • Sokongan X11 atas permintaan, pemasangan aplikasi lama tidak dapat dijalankan tanpa X11
  • Dock (mungkin juga?) kelihatan agak solid, dilihat kurang menarik, dan penulis masih merindui Dock dengan kesan reflection pada Mac OS X Lion

OS X Mountain Lion boleh didapati pada harga $19.99 USD (RM63.45) melalui Mac App Store bermula hari ini. Sekiranya anda membeli Mac daripada pengedar Apple yang sah bermula dari 11 Jun 2012 sehingga 25 Julai 2012 dan Mountain Lion tidak digunakan pada Mac tersebut, anda berpeluang untuk mengemas kininya secara percuma melalui Up-to-Date Program yang disediakan oleh pihak Apple.

Nukilan Arib Ismail untuk Amanz. Ikuti beliau di @arib2020.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd