Cari @ Amanz

Ingatkah lagi dengan siri animasi Haiya Bid Doa yang pernah kami ketengahkan pada awal tahun ini? Kini nampaknya mereka turut bekerjasama dengan salah seorang pembangun aplikasi tempatan, membawakan siri animasi mereka dalam bentuk aplikasi Android.

Aplikasi Android Haiya Bid Doa membolehkan para pengguna mengikuti beberapa siri doa dalam bentuk animasi dan juga gambar, sekaligus memudahkan mereka mempelajari doa-doa harian, disamping membawanya bersama-sama mereka ke mana sahaja pada peranti Android mereka.

Daripada percubaan kami, untuk bentuk animasi, ia masih lagi hanya memaparkan satu sahaja doa, iaitu doa makan, dan memerlukan para pengguna membeli aplikasi penuh untuk mengakses yang lain. Dalam bentuk gambar pula, sebahagian besar doa boleh diakses padanya melalui versi percuma.

Walaupun konsep aplikasi tersebut kelihatan menarik, namun ia mempunyai pelbagai jenis kekurangan, dimana ia tidak dioptimasikan untuk paparan secara menegak. Disamping itu, pelbagai pautan, seperti butang kembali dan sebagainya tidak dioptimasikan, serta tidak diintegrasikan dengan butang terbina pada peranti Android itu sendiri.

Malah, salah satu perkara yang kami tidak gemarkan adalah dimana memerlukan para pengguna mengisi pelbagai borang sebelum dapat memuat-turunnya. Ia mungkin lebih sesuai sekiranya ditawarkan melalui Google Play Store, memudahkan para pengguna biasa memasang aplikasi tersebut. Disamping itu, versi berbayar juga ditawarkan melalui web mereka secara berasingan, dan bukannya menggunakan Google Play Store. Walaupun mungkin pembangunnya mempunyai jawapan tersendiri, namun ia masih memberikan pelbagai kekangan untuk para pengguna mencuba aplikasi tersebut. Kami sendiri terpaksa mengisi borang tersebut sebanyak dua kali, sebelum menerima emel daripada mereka.

Bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkan aplikasi ini dengan mengisi borang yang disediakan pada laman mereka, dan mencubanya sendiri pada peranti anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd