Cari @ Amanz

Cip pemprosesan Snapdragon S4 Pro merupakan salah satu pemprosesan yang dinantikan para peranti mudah-alih, dan kini laporan awal mengatakan HTC mungkin menjadi yang terawal mengumumkan peranti dengan cip pemprosesan tersebut pada IFA 2012 penghujung bulan ini.

Namun, ia masih lagi tidak diketahui sama ada HTC bakal mengumumkan tablet ataupun telefon pintar dengan cip pemprosesan tersebut. Beberapa ura-ura sebelum ini mengatakan HTC bakal hadir dengan tablet baru setelah sekian lama tidak memperkenalkan tablet sejak HTC Flyer.

Daripada laman KnowYourMobile, mereka berkongsi paparan benchmark untuk peranti HTC baru yang dikatakan menggunakan Snapdragon S4 Pro, iaitu cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz bersama-sama dengan GPU Adreno 320. Melalui apa yang diperlihatkan, ia mendahului pelbagai peranti lain, dan mendahului mereka dengan mudah tanpa sebarang masalah.

Buat masa ini, HTC masih lagi tidak mengeluarkan sebarang komen berkenaan dengan penyertaan mereka pada IFA 2012. Samsung dijangka akan memperkenalkan Galaxy Note 2 mereka, selain Sony juga bakal memperkenalkan beberapa peranti baru pada acara tersebut. Sama-sama kita nantikan permulaan IFA 2012 pada penghujung bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd