Bagi para pelanggan MSDN dan juga TechNet, seperti mana yang dijanjikan oleh Microsoft sebelum ini, kini anda sedia untuk memuat-turun Windows 8 RTM dan mencubanya sendiri pada komputer anda, jauh lebih awal sebelum Windows 8 dilancarkan kepada umum pada 26 Oktober kelak.
Melalui sistem operasi Windows 8, Microsoft membawakan pelbagai perubahan, termasuk memperkenalkan antaramuka baru yang mesra bukan sahaja pengguna desktop biasa, tetapi turut dioptimasikan untuk pengguna skrin sentuh, terutamanya tablet. Disamping itu, Windows 8 turut diintegrasikan dengan lebih menyeluruh bersama sokongan awan SkyDrive, serta memperkenalkan Windows Store bersama dengannya.
Selain daripada pelanggan MSDN dan juga TechNet, Microsoft turut sama menyediakan sokongan percubaan selama 90 hari untuk Windows 8 Enterprise dalam bentuk 32-bit dan 64-bit, membolehkan mereka yang berminat untuk memuat-turun versi Enterprise dan mencubanya sendiri. Namun versi ini tidak boleh dikemaskini kepada versi akhir, sekaligus menjadikan ia tidak boleh digunakan lebih daripada 90 hari pada komputer masing-masing.