Semalam baru sahaja kita dapat melihat Samsung Galaxy S3 menjalankan ROM Jelly Bean dengan antaramuka TouchWiz daripada Samsung, dan menariknya, hari ini, ROM versi pembangunan tersebut telah pun boleh dimuat-turun dan dicuba oleh semua pengguna Galaxy S3 seluruh dunia.
Namun, seperti biasa, memandangkan ia bukanlah ROM rasmi, maka ia tidak disokong oleh Samsung buat masa ini, dan ia turut sama akan mematikan jaminan peranti anda. Daripada ROM tersebut juga ia memperlihatkan tarikh pembangunan 31 Julai 2012, yang mana berkemungkinan mengalami pelbagai perubahan buat masa ini.
Daripada versi pembangunan tersebut, beberapa perubahan yang diperlihatkan termasuklah sokongan Google Now yang dinantikan ramai, sistem notifikasi yang ditambah-baik, beberapa Live Wallpaper yang baru, dan beberapa fungsi baru yang lain.
Bagi anda yang berminat, mungkin boleh mendapatkannya daripada laman SamMobile hari ini. Mengikut beberapa laporan awal, Samsung bakal memperkenalkan kemaskini ini kepada semua pengguna Galaxy S3 secara rasminya pada 29 Ogos ini.