Cari @ Amanz

Terdapat ratusan ribu aplikasi mudah-alih dan juga aplikasi berasaskan web yang boleh digunakan untuk sesuatu hari, dan bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba esok, kami sediakan beberapa aplikasi yang mungkin berguna untuk anda.

Pengangkutan / Perjalanan

Ketika memandu mahupun dalam perjalanan balik ke kampung, biasanya beberapa perkara perlu diambil-berat, termasuk bagaimanakah keadaan jalan raya, tempat rehat dan sebagainya. Berikut merupakan beberapa aplikasi yang mungkin berguna untuknya:

Plus Toll Rate

Untuk mereka yang menggunakan lebuhraya utara selatan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, salah satu aplikasi yang berguna dalam menentukan kos yang perlu dibayar, disamping mengetahui keadaan semasa lebuhraya adalah aplikasi Plus Toll Rate.

Aplikasi ini ditawarkan untuk para pengguna Android, disamping turut disediakan secara rasmi oleh pihak PLUS untuk para pengguna BlackBerry dari Celcom.

Waze

Selain daripada kos tol, salah satu perkara yang sering diberikan perhatian adalah termasuk kesesakkan lalu-lintas dan pelbagai keadaan semasa jalan raya. Waze adalah salah satu aplikasi yang amat berguna untuknya, dimana ia menawarkan data masa-nyata, hasil daripada perkongsian ramai pengguna seluruh Malaysia. Anda juga pada masa yang sama turut boleh berkongsi pelbagai data seperti kesesakkan, kemalangan dan sebagainya terus melalui aplikasi Waze ini.

Waze ditawarkan secara pecuma untuk iOS, Android, BlackBerry, Symbian dan juga Windows Mobile.

Petronas PitStop

Salah satu aplikasi yang boleh turut ditambah ke koleksi anda adalah Petronas PitStop yang ditawarkan untuk iOS dan juga Android. Melalui aplikasi ini, ia membolehkan anda mengetahui stesyen minyak Petronas terdekat, disamping perkhidmatan yang disediakan di sesuatu stesyen minyak Petronas.

Pada masa yang sama, anda juga turut sama boleh menggunakan aplikasi ini dalam mengira kos minyak anda, dan jarak perjalanan yang boleh dilalui untuk sesuatu isian anda.

Senarai Rakan Dan Saudara-Mara

Pada hari perayaan, salah satu perkara yang sering dilakukan adalah bertemu dengan keluarga, sanak-saudara dan juga rakan-rakan. Kadang-kala, ini adalah peluang untuk anda bertemu dengan rakan-rakan baru, disamping mengenali ahli keluarga terdekat anda dengan lebih rapat lagi.

Geni

Geni merupakan salah satu aplikasi berasaskan web yang amat berguna untuk anda menyenaraikan susur-galur ahli keluarga anda, daripada moyang anda kepada saudara-mara anda yang lain. Berbanding dengan menambah ahli keluarga pada Facebook, Geni menyediakan gambaran yang lebih baik.

Namun, ia hanya dihadkan kepada lebih kurang 100 nama sahaja, dimana untuk menambah ahli keluarga yang lain, anda perlu melanggan pelan berbayar yang disediakan oleh Geni. Walaubagaimanapun, ia adalah salah satu aplikasi yang amat berguna dalam memudahkan anda mengenali ahli keluarga anda, dan mengikuti susur-galur keluarga anda.

Evernote Hello

Salah satu aplikasi daripada pembangun Evernote, iaitu Evernote Hello. Melalui aplikasi ini, ia memudahkan anda menambah senarai nama, alamat, dan sebagainya, selain pada masa yang sama membolehkan anda merakamkan gambar, dan mengetahui bilakah anda pernah menemui seseorang itu dengan mudah.

Evernote Hello ditawarkan untuk Android dan iOS buat masa ini, dan mungkin akan ditawarkan untuk pelbagai platform lain dalam masa terdekat.

FourSquare Lists

Kadang-kala, ia adalah salah satu perkara mudah untuk anda melupakan lokasi rumah saudara-mara anda. Untuk memudahkan anda mengingatinya, anda boleh membuat sebuah senarai khas pada akaun FourSquare anda, dan menyimpan senarai daftar masuk lokasi khas padanya, sekaligus memudahkan anda mengingati lokasi rumah saudara-mara dan rakan-rakan pada kemudian hari.

Makanan

Makanan tradisi adalah salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan pada musim perayaan seperti Hari Raya. Dan semestinya anda ingin menyimpannya dalam memori, disamping berkongsi dengan yang lain yang turut mengemari pelbagai jenis makanan.

FoodSpotting

Salah satu laman sosial terkemuka untuk pengemar makanan seluruh dunia adalah FoodSpotting. Anda boleh merakamkan gambar, dan berkongsi nama makanan tersebut, dan beberapa info tambahan terus melalui aplikasi FoodSpotting, sekaligus berkongsi makanan Malaysia di mata dunia.

Evernote Food

Selain daripada berkongsi bersama yang lain, anda juga mungkin ingin mencatatkan beberapa nama makanan menarik bersama-sama gambarnya untuk catatan peribadi. Aplikasi Evernote Food yang ditawarkan untuk iOS dan Android ini memudahkan perkara tersebut, dan pada masa yang sama sync dengan akaun Evernote anda yang lain, seperit Evernote Hello dan sebagainya.

Akhir Kata

Walaupun beberapa aplikasi ini mungkin agak berguna, namun ada baiknya juga anda manfaatkan hari perayaan ini, dan jangan terlalu terikat dengan telefon atau tablet anda sepanjang masa.

Hari perayaan merupakan hari kita semua berhimpun bersama ahli keluarga, jadi biarkan telefon dan peranti anda buat seketika, dan banyakkan berkomunikasi dalam alam realiti berbanding alam maya di hari lebaran ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd