Bagi para peminat platform MeeGo, semestinya mengetahui akan syarikat baru, Jolla yang bakal meneruskan pembangunan MeeGo, selain hadir dengan beberapa peranti baru MeeGo tidak lama lagi. Setelah dinantikan lama, kini pembangunnya turut berkongsi beberapa info berkaitan dengannya kepada umum.
Dengan dunia telefon pintar yang memfokuskan kepada aplikasi, Jolla turut sama tidak ingin ketinggalan dalam bilangan aplikasi yang disokong oleh telefon pintar MeeGo mereka. Dalam menjayakannya, kini mereka mengatakan, kelak, selain daripada aplikasi berasaskan HTML5 dan Qt yang sedia disokong oleh MeeGo, mereka juga akan membuatkan ia menyokong aplikasi Android padanya.
Perkara ini dikatakan akan dijayakan melalui Application Compatibility Layer (ACL), yang mana akan membolehkan aplikasi Android dijalankan padanya tanpa kekurangan sedikit prestasi pun.
Selain daripada itu, Jolla juga mengatakan mereka sedang dalam proses membangunkan telefon pintar dengan skrin bersaiz 3.5-inci mereka, dan mungkin akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini.