Carian
Adakah Komputer Riba Windows 8 Samsung Akan Hadir Bersama S-Pen?
August 24, 2012 Aman

Samsung seperti semua sedia kenali, bukan hanya mengeluarkan telefon pintar dan tablet sahaja, tetapi turut sama mempunyai bahagian pengeluaran komputer riba mereka. Terkini, Samsung Notebook telah pun memuat-naik video promosi baru, sekaligus memperlihatkan Samsung bakal mengumumkannya dalam masa terdekat nanti.

Daripada video yang disediakan tidak banyak perkara yang kelihatan. Namun, apa yang menariknya, salah satu perkara yang diperlihatkan adalah slot seumpama yang terdapat pada Galaxy Note, iaitu ruangan S-Pen terbina padanya. Perkara ini mungkin bukan sesuatu yang mustahil, memandangkan Windows 8 sedia dioptimasikan untuk skrin sentuh.

Windows 8 bakal dilancarkan pada 26 Oktober, dan mungkin kita akan dapat melihat ia dijual pada tarikh yang sama. Dan untuk pengumumannya, ia tidak diketahui lagi bilakah. Namun, Samsung bakal menyertai IFA 2012 pada minggu hadapan, dan mungkin kita boleh melihat ia diumumkan pada acara tersebut.

Komen