Hari demi hari, lebih ramai yang menggunakan Linux, tidak kira pada pelayan, mahupun peranti mudah-alih dan komputer mereka. Dan perkara ini semestinya menyumbang kepada pembangunannya. Selepas Samsung menyertai Linux Foundation, terkini Twitter turut sama akan menyertainya minggu hadapan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan Linux lagi.
Twitter seperti semua sedia maklum, sedia menyumbang beberapa kod pembangunan mereka bersama yang lain, dan salah satu yang popular adalah rekabentuk tema mereka yang mesra pelbagai saiz skrin, Bootstrap. Sebuah halaman khas GitHub turut disediakan oleh mereka, berkongsi pelbagai kod sumber terbuka bersama yang lain, sekaligus membantu pembangun web seluruh dunia melaluinya.
Pihak Twitter mengatakan yang mana dengan menyertai Linux Foundation, mereka dapat menyokong organisasi disebalik Linux dan sumber terbuka, disamping bekerjasama bersama komuniti dalam membangunkan Linux sepantas mereka membangunkan dan mempertingkatkan Twitter.
Penyertaan rasmi akan diumumkan pada minggu hadapan pada LinuxCon, dimana Twitter akan berkongsi kisah mereka berkaitan teknologi sumber terbuka disebalik setiap Tweet.