Cari @ Amanz

Akhirnya, setelah beberapa gambar Vaio Duo 11 yang mula kelihatan beberapa hari sebelum ini, kini pada acara IFA 2012, Sony turut sama mengumumkan hibrid tablet dan ultrabook kepada umum, bersama-sama dengan desktop terbaru mereka, Vaio Tap 20. Seperti sedia maklum, kedua-dua peranti keluarga Vaio ini menggunakan Windows 8 sebagai sistem operasi mereka.

Vaio Duo 11 merupakan salah satu peranti yang menerima pelbagai komen positif berkenaan dengan rekabentuknya, dimana Sony membawakan skrin sentuh bersaiz 11.6-inci dan pilihan cip pemprosesan Intel Core i3, i5 dan juga i7 padanya. Ia juga didatangkan dalam pilihan memori sebanyak 4GB atau 8GB SDRAM, serta pilihan storan dalam bentuk 128GB atau 256GB SSD. Selain daripada itu, ia turut menyertakan beberapa perkara lain, termasuk sokongan NFC terbina padanya untuk memudahkan anda berkongsi dengan mudah. Ia kelak akan dijual bersama-sama Windows 8 atau Windows 8 Pro padanya.

Vaio Tab 20 pula merupakan penambahan baru kepada keluarga komputer peribadi daripada Sony, memfokuskan kepada keluarga, dan didatangkan bersama-sama bateri terbina dan juga skrin sentuh padanya. Seperti pada namanya, ia membawakan skrin 20-inci dengan paparan 1600×900 pixel serta menggunakan teknologi Mobile BRAVIA Engine 2. Seperti Vaio Duo 11, ia juga didatangkan dalam pilihan cip pemprosesan, sistem operasi dan memori yang serupa. Untuk ruangan storan pula, ia didatangkan dalam pilihan 750GB dan juga 1TB HDD.

Harga jualan tempatan masih tidak diketahui buat masa ini, dan mungkin akan diumumkan bersama-sama pelancaran Windows 8 pada 26 Oktober kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd