Lanjutan daripada pengumuman pelancaran beberapa peranti baru daripada Sony pada malam semalam, kini pihak Sony Mobile mengesahkan dua peranti daripadanya akan dilancarkan di Malaysia, iaitu Xperia TX dan juga Xperia J.
Untuk makluman, Xperia TX adalah salah satu variasi daripada Xperia T yang akan diperkenalkan di beberapa negara. Ia membawakan skrin sebesar 4.6-inci HD Reality Display dengan paparan jelas dan tajam hasil sokongan Mobile BRAVIA Engine, kamera belakang 13-megapixel dengan sokongan rakaman 1080p HD, sokongan NFC terbina, cip pemprosesan dwi-teras 1.5GHz, serta didatangkan dengan sokongan pensijilan PlayStation. Ia akan didatangkan bersama-sama Android 4.0.4 Ice Cream Sandwich dan boleh dikemaskini kepada Android 4.1 Jelly Bean.
Xperia J pula merupakan peranti mampu milik daripada Sony, membawakan skrin FWVGA bersaiz 4.0-inci, kamera 5-megapixel, dan didatangkan dalam pilihan warna hitam, emas, putih dan juga merah jambu.
Harga dan bilakah ia akan mula dijual di Malaysia masih tidak diketahui buat masa ini.