Setelah pelbagai ura-ura dan laporan sebelum ini, kini HTC telah pun memperkenalkan peranti dengan spesifikasi sederhana daripada mereka, iaitu Desire X. Seperti kebanyakkan telefon pintar HTC yang baru, ia didatangkan bersama-sama dengan Android 4.0 Ice Cream Sandwich, dan dilengkapi dengan antaramuka HTC Sense padanya.
Desire X turut dilengkapi dengan cip pemprosesan dwi-teras 1GHz Snapdragon S4 “Play”, memori sebanyak 768MB RAM, skrin bersaiz 4-inci WVGA Super LCD, storan terbina 4GB, dan juga bateri berkapasiti 1650 mAh padanya. Kamera 5-megapixel turut disertakan bersama, menawarkan sokongan rakaman video sehingga 480p.
Memandangkan HTC Desire X ini boleh dikatakan antara kategori peranti mampu milik, maka mungkin kita akan dapat melihat tanda harga kurang RM1,000 ketika pelancarannya kelak. Sebagai perbandingan, peranti HTC One V dijual pada harga RM999 di Malaysia.