Cari @ Amanz

Tahun depan bakal menyaksikan dunia Internet sekali lagi menerima perubahan yang besar jika satu piawaian baru untuk video yang dikenali sebagai “High Efficiency Video Codec” (HEVC) h.265 sedia untuk diperkenalkan kepada pengguna-pengguna di seluruh dunia.

HEVC merupakan versi baru untuk piawaian lama “Advance Video Codec” (AVC) h.264 yang telah digunakan secara meluas sejak tahun 2003. HEVC yang bakal menjengah pengguna kelak akan menjadi satu piawaian rasmi untuk rakaman, pemampatan (compression) dan penyebaran video berdefinisi tinggi (HD).

HEVC dikatakan mampu mencapai tahap keberkesanan 2 kali lebih baik berbanding dengan piawaian AVC yang sedia ada. Ini bermaksud, video yang bersaiz 480p pada ketika ini mungkin bersaiz 70Mb dan pada masa akan datang ini, ketika mana HEVC sedia untuk digunakan, video yang sama mungkin bersaiz 35Mb sahaja.

Ataupun, video 480p mungkin bersaiz 70Mb pada ketika ini dan pada masa akan datang, video 720p pula bersaiz sekitar 70Mb. Dalam erti kata yang lain, piawaian baru HEVC ini akan mengurangkan penggunaan kuota penghantaran data, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan internet.

Ciri-ciri HEVC h.265

HEVC, seperti yang telah diterangkan berdasarkan analogi di atas, merupakan satu peluang yang sangat baik untuk mengurangkan penggunaan data dan menjimatkan kuota kerana video yang berdefinisi tinggi mampu dimuat turun pada pada saiz dua kali lebih rendah berbanding piawaian yang sedia ada ketika ini.

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyiaran video seperti YouTube, NetFlix, Hulu juga mendapat keuntungan yang sama kerana HEVC mampu menjimatkan ruang storan mereka dan juga proses penghantaran data video kepada pengguna lebih berkesan. Selain itu, pengguna-pengguna Internet yang gemar menonton video secara atas talian dapat menikmati lebih manfaat jika mereka masih lagi menggunakan Internet yang berkelajuan rendah. Mungkin pada masa akan datang, setiap video yang dihidangkan kepada pengguna menggunakan resolusi video 1080p secara ‘asal’ (default), siapa tahu kan?

Persoalan yang timbul mengenai HEVC h.265

Sebelum HEVC ini sedia untuk digunakan, sudah timbul beberapa persoalan lagi di Internet. Antara persoalan yang popular timbul, adakah pengguna perlu menaik-taraf perkakasan kepada yang baru dari segi cip pemprosesan atau perisian desktop, tablet PC mahupun telefon pintar bagi membolehkan video yang menggunakan piawaian HEVC h.265 ini dimainkan dengan lancar?

Juga ada pengguna-pengguna internet yang ingin mengetahui format video apakah yang menjadi ‘container’ kepada HEVC ini? Adakah masih lagi menggunakan MP4 atau MKV? Ataupun, adakah format ‘container’ baru akan diperkenalkan kepada kita sekiranya piawaian baru ini diperkenalkan kepada umum nanti?

Tidak ketinggalan juga ada persoalan yang diutarakan dikalangan pengguna peranti seperti perakam video. Adakah peranti sebegini juga akan menerima penaiktarafan yang sama? Mungkinkah harga perakam video ini akan menjadi lebih murah, atau sebaliknya pada masa akan datang? Dari sudut positif jika piawaian ini berjaya, maka peranti video ini tidak lagi memerlukan kepada ruang storan yang besar lagi untuk menyimpan video yang dirakam, sekaligus para pengeluar peranti sedemikian boleh menurunkan harga sejajar dengan pengurangan kapasiti. Bagaimana pula dengan unit pemprosesan video bagi peranti ini?

Demonstrasi Awal HEVC Oleh Qualcomm

Qualcomm telahpun memperlihatkan demonstrasi akan kebolehan HEVC h.265 dan hasilnya membuktikan video yang menggunakan piawaian ini masih mengekalkan kualiti yang sama seperti AVC h.264. Apa yang menarik, HEVC h.265 dapat dihasilkan pada saiz 1/2 lebih kecil berbanding dengan video menggunakan piawaian AVC h.264.

Pandangan: Adakah Ini Merupakan Gelombang Baru Penyebaran Bahan Cetak Rompak?

Ya, dan mungkin juga tidak. Jika HEVC h.265 dapat direalisasikan, maka semakin ramai orang berminat untuk memuat turun sebarang bahan cetak rompak dari Internet terutama sekali bahan media seperti filem dan drama bersiri. Laman-laman web yang menyediakan perkhidmatan untuk memuat turun cerita barangkali akan bertambah dari semasa ke semasa, dan saya sendiri tidak menolak kemungkinan bahawa akta-akta internet seperti SOPA dan PIPA akan menghantui kembali pengguna-pengguna Internet, sama ada pada skala yang sama ataupun pada skala yang jauh lebih dahsyat lagi.

Mungkin juga laman seumpama dengan YouTube, Metacafe, Video atau DailyMotion semakin hari semakin bertambah kerana kos pembangunan pelayan dan kos untuk penyimpanan data berkurang melalui implementasian piawaian terbaru ini. Tambahan pula, perkhidmatan penyimpanan video secara online seperti YouTube dan laman-laman seumpama dengannya mampu menghasilkan keuntungan dengan fungsi pengiklanan.

Akses kepada TV Internet juga semakin mudah pada masa akan datang. Penembusan media Internet mungkin akan meningkat naik. Besar kemungkinan, stesen televisyen Internet akan bertambah bilangan dari semasa ke semasa. Perkembangan ini mungkin satu titik permulaan yang sangat baik bagi semua orang yang mengharapkan ketelusan penyampaian berita yang 100% tepat dan mengikut fakta yang sebenar.

Kesimpulan

Dalam masa kurang 5 bulan lagi kita akan bertemu dengan tahun 2013, dan ini bermaksud kita akan bertemu juga dengan HEVC h.265 ini dalam masa yang tidak begitu panjang. Kita berharap agar HEVC h.265 ini mampu memberikan lebih nilai kepada dunia siber pada masa yang akan datang dan kami turut berharap agar landskap dunia siber tempatan khususnya dari sudut TV Internet akan berubah ke arah yang lebih matang dari segi kualiti amnya.

Sebagai penutup bicara, sesungguhnya kita mengharapkan agar perubahan ini juga mampu meningkatkan produktiviti semua pihak dengan jayanya. Kecanggihan teknologi yang kita kecapi ini sememangnya dilihat ringkas dan bermanfaat untuk diemplementasikan dalam kegunaan seharian. Tanpa usaha yang padu daripada inteligensia, impian untuk mewujudkan h.265 mungkin tidak tercapai sasarannya. Semoga dengan kelahiran h.265 ini dapat membawa sinar baru kepada dunia pengkomputeran ke puncak kegemilangan.

Hasil nukilan Aizan Fahri untuk Amanz. Ikuti Twitter beliau di @ak4allz.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd