Sejak daripada awal tahun, salah satu perkara yang dinantikan para pengguna Firefox, adalah antaramuka dan rekabentuk baru pelayar web tersebut, yang dipanggil sebagai Australis. Kini, mengikut jadual pembangunan yang dikemaskini, ia memberikan idea, rekabentuk baru ini akan diperkenalkan pada Firefox 19 kelak.
Untuk makluman, Mozilla baru sahaja melancarkan Firefox 15 pada minggu lepas, dan untuk pelancaran Firefox 19, ianya akan mengambil masa beberapa bulan lagi. Versi pembangunan pertamanya, iaitu Firefox 19 Nightly dijangka akan diperkenalkan pada bulan Oktober kelak, dan mungkin akan membawakan beberapa perubahan padanya.
Walaubagaimanapun, ia hanyalah merupakan jadual pembangunan awal, dan mungkin akan berlaku perubahan padanya, bergantung kepada pembangunan dan sebagainya. Namun, semestinya ia merupakan salah satu perkara yang dinantikan ramai, dan mungkin akan dapat menarik kembali para pengguna yang beralih ke Chrome dan sebagainya.