Bagaimana Menggunakan Kamera Peranti Android Sebagai WebCam Komputer Anda?

Bagaimana Menggunakan Kamera Peranti Android Sebagai WebCam Komputer Anda?

Diterbitkan pada Sep 5, 2012 oleh .

Kadangkala, mungkin anda tidak berpuas-hati dengan kualiti gambar pada webcam terbina di komputer anda, ataupun malas menggunakannya memandangkan ia sukar untuk digerakkan sesuka hati. Kini, sebagai alternatifnya, anda boleh mencuba salah satu aplikasi yang dinamakan sebagai SmartCam, dalam menggunakan kamera Android anda sebagai webcam untuk komputer anda.

Untuk makluman, SmartCam ini bukan sahaja boleh digunakan bersama-sama dengan peranti Android, tetapi turut sama disokong untuk Symbian, Bada, dan turut didatangkan dalam bentuk format JME. Manakala untuk digunakan pada komputer pula, para pengguna perlu memuat-turun sebuah perisian khas dengan nama serupa, yang ditawarkan untuk Windows dan juga Linux.

Menghubungkan Peranti Ke Komputer

Semestinya seperti semua sedia maklum, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghubungkan peranti kepada komputer. Untuk menjayakannya, anda boleh lakukan dalam dua bentuk pilihan, iaitu menggunakan rangkaian WiFi ataupun Bluetooth.

Untuk tips kali ini, kami akan gunakan sokongan WiFi, dimana anda turut sama boleh mencubanya menggunakan Bluetooth.

Pada peranti anda, tekan butang menu dan pilih Settings. Ini mungkin sukar untuk dilakukan pada peranti Android baru yang menggunakan skrin sentuh sepenuhnya tanpa butang menu (membuatkan kami tidak boleh mengujinya pada HTC One V).

Sebaik sahaja memasuki halaman tetapan, pilih Connection Type, dan tetapkannya sebagai TCP/IP (WiFi). Seterusnya pada bahagian pilihan Remote Server, masukkan alamat IP komputer anda.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui alamat IP komputer mereka. Untuk mendapatkannya, buka Command Prompt, dan taip ipconfig /all. Pelbagai perkara berkaitan alamat IP anda akan diperlihatkan. Anda hanya perlu mencari bahagian Wireless LAN adapter Wi-Fi, dan masukkan alamat berdasarkan kepada apa yang tertera pada bahagian IPv4 Address.

Sebaik sahaja selesai memasukkan alamat IP, kembali kepada halaman utama aplikasi SmartCam, tekan butang menu kembali, dan pilih Connect.

Ia akan dihubungkan kepada komputer anda secara automatiik, dan anda akan dapat melihat paparan gambar yang dipancarkan daripada kamera peranti Android anda terus pada skrin komputer.


TIPS & ULASAN