Cari @ Amanz

Galaxy Note 10.1 telah pun dilancarkan secara rasminya di Malaysia hari ini, dimana ditawarkan pada harga RM2199 selain turut ditawarkan bersama beberapa pakej khas oleh beberapa syarikat telekomunikasi tempatan.

Kami sendiri telah berpeluang mencubanya secara ringkas pada cara pelancaran tersebut, membolehkan kami mencuba tablet terbaru dengan sokongan S-Pen ini. Samsung memasarkannya dengan mengatakan yang mana berbeza dengan tablet lain yang hanya sekadar membolehkan para pengguna menikmati kandungan, melalui Note 10.1 mereka turut sama boleh membangunkan kandungan dan berkongsi bersama yang lain.

Spesifikasi dan Rekabentuk

Bagi yang sedia maklum, Samsung Galaxy Note 10.1 ini membawakan skrin bersaiz 10.1-inci, selain turut dijana menggunakan cip pemprosesan empat-teras 1.4GHz, dan memori 2GB RAM. Kedua-dua ini membolehkan tablet tersebut beroperasi dengan pantas tanpa sebarang masalah dan masa lengah.

Pada masa yang sama, ia turut membawakan kamera belakang 5-megapixel untuk membolehkan anda merakamkan gambar, serta kamera hadapan 1.9-megapixel untuk membolehkan anda membuat panggilan video dan sebagainya. Anda juga turut sama boleh menggunakan Adobe Photoshop Touch yang didatangkan bersama-sama dengannya dalam membuat pengeditan dan pengubahan pada gambar yang dirakamkan.

S-Pen pada Galaxy Note 10.1 membawakan fungsi seumpama pada Note sebelum ini, membolehkan anda menulis, melakar dan mengendalikan tablet tersebut dengan mudah tanpa sebarang masalah.

Dari segi rekabentuk pula, ia membawakan saiz yang sedikit besar berbanding tablet popular – Apple iPad. Namun, menariknya, ia amat sesuai untuk anda yang gemar menonton video ataupun mendengar lagu dan sebagainya, memandangkan ia didatangkan dengan speaker pada bahagian hadapan.

Secara keseluruhannya, berat peranti tersebut agak ringan, yang mana mungkin tidak disukai oleh kebanyakkan pengguna, selain beberapa ciri-ciri yang dibina berdasarkan kepada plastik.

Prestasi dan Penggunaan

Daripada apa yang kami gunakan untuk sementara waktu, ia bergerak lancar, selain membolehkan anda menjalankan lebih daripada satu aplikasi pada waktu serentak dengan mudah melalui sokongan multi-skrin. Sokongan ini membolehkan anda menjalankan dua aplikasi pada masa yang sama secara bersebelahan. Ia amat berguna sekiranya anda perlukann rujukan atau ingin menjalankan sesuatu aplikasi, tanpa ketinggalan atau menutup yang lain.

Menariknya, sekiranya ia dijalankan bersama-sama dengan sokongan video pop-up play, maka anda boleh jalankan sebanyak tiga aplikasi pada masa yang sama.

Pada Galaxy Note 10.1 ini juga, ia membawakan sokongan telefoni, membolehkan para pengguna membuat panggilan telefon, serta menerima SMS dan sebagainya dengan mudah. Ini adalah suatu penambahan pada tablet Samsung, membolehkan anda menggunakannya bersama-sama beberapa peranti tambahan seperti headset ataupun Galaxy Player.

Bagi yang sedia menggunakan Galaxy S3, untuk Galaxy Note 10.1, ia turut sama menyertakan TouchWiz NatureUX, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama untuknya.

Harga dan Penjualan

Sekiranya anda berminat dengan peranti ini, anda boleh mendapatkannya daripada pengedar rasmi Samsung seluruh Malaysia bermula hari ini pada harga RM2199. Selain itu, sebagai alternatif lain, anda juga turut boleh mendapatkannya bersama-sama pakej telekomunikasi daripada Celcom, UMobile, Maxis, dan juga DiGi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd