Motorola Memperkenalkan Tiga Telefon Pintar Android Baru

Motorola Memperkenalkan Tiga Telefon Pintar Android Baru

Diterbitkan pada Sep 6, 2012 oleh .

Setelah Nokia memperkenalkan dua peranti Windows Phone 8 terbaru mereka, kini Motorola pula memperkenalkan sebanyak tiga peranti baru mereka. Pada masa yang sama, Motorola turut sama mengumumkan yang mana mereka akan memfokuskan sepenuhnya kepada Android, selain menekankan, sekiranya inginkan peranti Android yang baik, mendapatkan peranti daripada mereka.

Motorola memulakan acara mereka dengan mengumumkan fokus mereka kepada tiga perkara. Dimana selain daripada Android, dua lagi adalah kepada kelajuan dan juga pengurusan kuasa. Untuk kelajuan, mereka memfokuskan kepada rangkaian telekomunikasi, dengan erti kata lain kepada LTE, manakal untuk pengurusan kuasa pula, lebih kepada masa bertahan bateri yang lama (salah satu peranti mereka dengan bateri berkapasiti tinggi adalah Razr Maxx).

Tiga peranti terbaru yang diumumkan oleh Motorola adalah penambahan baru kepada keluarga RAZR. Motorola Droid RAZR HD diperkenalkan dengan membawakan skrin sebesar 4.7-inci dengan paparan pixel sebanyak lebih 78% berbanding RAZR sebelum ini.

Pelayar web Chrome akan didatangkan terbina padanya, selain masa bertahan bateri yang lebih lama. Motorola menjanjikan masa bercakap selama 16 jam menggunakan bateri 2,500 mAh yang disertakan bersama dengannya.

Motorola Droid RAZR MAXX HD pula merupakan peranti yang membawakan masa bertahan bateri yang lebih lama bersama-sama dengan ruangan storan terbina sebanyak 32GB. Daripada apa yang dikongsikan Motorola, ia membawakan masa bertahan selama 21 jam, dan masa memainkan video menggunakan rangkaian LTE selama 10 jam lamanya. Secara ringkasnya, ia membawakan kapasiti bateri sama seperti Razr MAXX sebelum ini.

Dan terakhir sekali adalah peranti Droid RAZR M yang mana membawakan peranti bersaiz 4.3-inci dengan skrin dari bucu kanan ke bucu kiri (hampir tiada border). Droid RAZR M turut sama membawakan kamera 8-megapixel, dan rekabentuk bahagian belakang berasaskan Kevlar. Harga Droid RAZR M adalah hanya $99.

Ke semuanya akan didatangkan bersama-sama Android 4.1 Jelly Bean padanya.


TIPS & ULASAN