Cari @ Amanz

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk membina resume dalam bentuk PDF dan juga HTML, dan salah satu aplikasi berasaskan web yang memudahkan proses tersebut adalah CV Maker. Seperti pada namanya, ia membolehkan anda membina resume yang kemas dan profesional dalam masa beberapa minit sahaja, secara percuma.

Menariknya mengenai perkhidmatan CV Maker adalah dimana anda tidak perlu mendaftar untuk menggunakannya, sekaligus menjadikan proses anda membina resume lebih pantas lagi. Namun, sekiranya anda ingin menyimpannya pada laman tersebut supaya boleh diubah pada kemudian hari, anda perlu mendaftar, yang mana boleh dilakukan dengan menggunakan akaun Facebook.

Sebaik sahaja anda memulakan proses membina resume, anda akan diberikan beberapa ruangan yang mana hanya perlu diisi dengan maklumat anda, seperti nama, biodata, pengalaman pekerjaan dan sebagainya. Anda juga turut boleh menambah beberapa ruangan khas dalam menyertakan pelbagai info tambahan pada resume anda.

Selesai sahaja menambahnya, anda boleh melihat resume anda terlebih dahulu dengan memilih tema pilihan, dimana sebanyak empat tema percuma disediakan pada CV Maker. Selesai sahaja memilih tema dan rekabentuk kegemaran, anda boleh mengeksport ke format PDF ataupun HTML dengan mudah.

Selain daripada versi web, CV Maker juga turut sama menyediakan aplikasi Chrome mereka kepada para pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd