Cari @ Amanz

Kemalangan seperti terjatuhnya telefon di dalam air, atau tertumpahnya air di atas telefon dan barangan elektronik adalah salah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tetapi bagaimanakah untuk menyelamatkannya?

Semestinya salah satu cara adalah membawanya ke kedai telefon berdekatan. Namun, ia mungkin mengambil masa, ataupun sukar dilakukan sekiranya kedai berdekatan tutup dan sebagainya.

Keluarkan bateri serta-merta

Untuk mengelakkan daripada telefon anda menghadapi sebarang masalah, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengeluarkan bateri serta-merta, supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya litar-pintas dan sebagainya.

Bagi anda yang menggunakan telefon dengan bateri terbina seperti iPhone, One X dan sebagainya, anda boleh mematikan peranti anda serta-merta, dengan menekan butang kuasa padanya.

Sebaik sahaja mengeluarkan bateri, keringkan peranti, bateri dan pelbagai perkara lain (kad-SIM, mikro-SD) dengan menggunakan kain ataupun tuala.

Walaupun anda berjaya menghilangkan air daripada peranti anda, kebarangkalian untuk peranti anda mempunyai kelembapan di bahagian dalam dan sebagainya adalah tinggi. Untuk itu, para pengguna dinasihatkan untuk menggunakan silica gel (yang biasa terdapat dalam ubat untuk mengekalkan kekeringan). Namun, memandangkan ia sukar untuk didapati, salah satu alternatif adalah menggunakan beras.

Di arena internet, ramai yang berkongsi kisah mereka, mengatakan penggunaan beras adalah salah satu kaedah yang baik untuk menghilangkan kelembapan daripada peranti mereka.

Anda boleh meninggalkan peranti anda didalam bekas berisi beras antara 24 jam hingga ke 72 jam, dan kemudiannya mencuba untuk menghidupkan kembali peranti anda.

Walaupun kaedah ini adalah salah satu perkara yang popular, namun mungkin tidak memberikan hasil yang baik kepada semua pengguna. Sekiranya anda mempunyai kaedah tersendiri, jangan lupa berkongsi bersama kami.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd