Carian
iOS 6 – Apakah Yang Sedia Diketahui Buat Masa Ini?
September 12, 2012 Aman

iOS 6 membawa iPhone, iPad dan iPod Touch selangkah kehadapan.

Dengan pengumuman iPhone generasi baru yang bakal berlangsung dalam beberapa jam lagi, semestinya ramai yang tertanya-tanya berkenaan apakah yang bakal dibawakan oleh platform iOS 6 kelak. Untuk makluman, iOS 6 telah pun diumumkan oleh pihak Apple sebelum ini beberapa bulan yang lepas, dan sedia untuk digunakan oleh semua pembangun.

Sokongan Aplikasi Peta Baru

Sokongan pemetaan untuk iOS sebelum ini dijana sepenuhnya oleh Google Maps. Namun, ia berubah bermula daripada iOS 6, dimana Apple hadir dengan aplikasi pemetaan mereka tersendiri – Maps.

Aplikasi peta baru daripada Apple ini menawarkan sokongan navigasi terbina, memudahkan anda untuk ke sesuatu lokasi itu dengan mudah. Pada masa yang sama, sokongan paparan 3D turut disertakan membolehkan anda melihat bangunan dan sesuatu lokasi dalam bentuk 3D.

Daripada pembangun tempatan awal yang mendapat akses ke iOS 6 versi pembangunan, kami mendapati beberapa lokasi di Malaysia masih tidak disokong sepenuhnya buat masa ini, yang mana mungkin memberikan sedikit kekurangan untuk aplikasi daripada Apple ini. Namun, perkara tersebut mungkin telah berubah pada versi akhir yang bakal diumumkan kelak.

Panggilan FaceTime Menggunakan Rangkaian Data

FaceTime adalah salah satu aplikasi panggilan video diantara pengguna produk Apple. Sebelum ini, ia memerlukan para pengguna untuk membuat panggilan hanya melalui sokongan WiFi sahaja, tetapi bermula daripada iOS 6, para pengguna turut sama boleh menggunakan sokongan data pada peranti mereka untuk membuat panggilan.

Semestinya sokongan ini telah diperkenalkan oleh komuniti jailbreak sebelum ini. Namun, bukan semua berani melakukannya pada peranti mereka, dan pengenalan sokongan baru ini semestinya digemari ramai pengguna.

Siri Diperkembangkan

Sokongan bantuan suara Siri adalah salah satu perkara hangat yang diperkatakan pada tahun lepas, sehingga ramai pengeluar termasuk Samsung yang hadir dengan aplikasi seumpamanya.

Pada iOS 6, sokongan Siri diperkembangkan, dimana kini ia turut menawarkan lebih banyak kandungan melaluinya, membolehkan para pengguna membuat carian untuk sukan, restoran dan sebagainya. Namun, sokongan penuh untuk pengguna tempatan masih tidak diketahui sepenuhnya buat masa ini.

Selain daripada fungsi carian, ia juga memudahkan anda mengendalikan peranti anda, dengan membolehkan membuka aplikasi, menghantar tweet, ataupun mengemaskini Facebook anda.

Facebook Diintegrasikan Secara Mendalam

Jikalau pada versi sebelum ini, sokongan Twitter diintegrasikan pada iOS, kini tiba masa pula untuk Facebook turut menerima sokongan sama, dimana para pengguna boleh mengemaskini pelbagai perkara terus ke akaun Facebook daripada peranti iOS mereka.

Antaranya termasuklah berkongsi gambar, berkongsi lokasi, berkongsi pautan, berkongsi skor daripada Game Center, dan pelbagai perkara lain lagi.

Sokongan ini juga diintegrasikan sepenuhnya pada Contacts, membolehkan anda menguruskan rakan-rakan anda dengan mudah, seperti contohnya, sekiranya rakan anda mengemaskini nombor telefon pada akaun Facebook mereka, ia juga ditambah dan dikemaskini pada aplikasi Contacts. Perkara sama juga, dimana Facebook Events turut diintegrasikan pada Calendar.

Uruskan Panggilan Dengan Mudah

Bukan biasanya anda ingin menjawab sesuatu panggilan, seperti contohnya ketika mesyuarat dan sebagainya. Perkara ini kini dimudahkan pada iOS 6, dimana para pengguna boleh menolak sesuatu panggilan dengan menghantar SMS, ataupun menambah kepada Reminder serta merta. Anda juga turut boleh mengaktifkan sokongan yang dinamakan Do Not Disturb, dimana anda boleh mengelakkan daripada menerima sebarang panggilan, contohnya seperti ketika tidur dan sebagainya.

Aplikasi Emel Diberikan Nafas Baru

Aplikasi emel pada iOS diberikan nafas baru, memudahkan lagi para pengguna untuk membaca dan membalas sesuatu emel dengan mudah. Anda juga turut sama boleh melabelkan sesuatu senarai sebagai VIP, sekaligus mengelakkan mesej daripada seseorang penerima itu daripada terlepas pandang.

iTunes Store, App Store dan iBookStore Dikemaskini

iOS 6 turut sama memberikan nafas baru untuk kedai atas-talian terbina padanya, iaitu iTunes Store, AppStore dan juga iBookStore.

Kini anda boleh mencari kandungan yang diminati anda termasuk lagu, video, buku, aplikasi dan sebagainya dengan lebih mudah dan pantas, dan melakukan pembelian serta merta padanya.

Koleksi anda juga diintegrasikan bersama iCloud, membolehkan anda mengaksesnya menggunakan sebarang peranti anda dengan mudah. Anda juga turut boleh berkongsi apa yang anda minti terus ke Facebook dan mendapatkan komen rakan anda berkenaan dengannya.

Passbook Memudahkan Anda Menguruskan Tiket, Kupon Dan Pelbagai Jenis Kad Secara Digital

Mungkin anda biasa membawa dompet yang tebal dengan menyertakan pelbagai jenis kad, kupon dan sebagainya, dan sukar untuk anda menguruskannya. Untuk memudahkan perkara tersebut, iOS 6 menyertakan aplikasi baru dinamakan sebagai Passbook.

Pada Passbook, ia membolehkan para pengguna menyimpan semuanya, termasuk tiket penerbangan, tiket wayang, kupon, kad ganjaran dan sebagainya pada satu tempat.

Namun, seperti biasa, kami masih tidak ketahui sepenuhnya sama ada ia relevan untuk pengguna tempatan ataupun sebaliknya.

Lain-lain Tambahan

Lain-lain sokongan yang turut dikemaskini dan ditambah adalah termasuk fungsi Find My iPhone, Find My Friends, dan beberapa lain lagi.

Ia juga akan kehilangan beberapa yang lain, termasuk salah satunya adalah aplikasi YouTube terbina padanya.

Semestinya ini mungkin hanyalah sedikit daripada apa yang bakal dikongsikan Apple, dan mungkin lebih lanjut akan diumumkan oleh Apple pada acara rasmi dalam beberapa jam lagi.

Komen