Hari ini, Sharp telah pun melancarkan telefon pintar mereka, Sharp SH530U di Malaysia secara rasminya, sekaligus membawa telefon pintar bersaiz 5-inci tersebut kepada para pengguna tempatan. Pada masa yang sama, pihak Brightstar Malaysia (pengedar rasmi Sharp di Malaysia) turut mengumumkan, mereka akan membawa lebih banyak peranti Sharp ke pasaran tempatan dalam bulan-bulan akan datang.
Sharp SH530U merupakan peranti Android dengan skrin bersaiz 5-inci WVGA dengan resolusi 480×800. Ia turut menyertakan kamera 5-megapixel pada bahagian belakang dan kamera VGA pada bahagian hadapan. Menariknya mengenai SH530U, ia membawakan sokongan dwi-SIM, membolehkan anda mengubah antara satu sama lain dengan pantas.
SH530U turut menyertakan cip pemprosesan dwi-teras 1GHz Cortex A9, serta dijana menggunakan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.
Di Malaysia, peranti ini ditawarkan pada harga RM1288, yang mana kami beranggapan mungkin harga yang menarik bagi para pengguna yang inginkan saiz peranti yang besar. Namun, ia membawakan paparan skrin yang kusam, berbanding paparan skrin lain di pasaran hari ini. Kami akan membawakan pandang pertama peranti ini dalam masa terdekat.