Plex – Pusat Sehenti Longgokan Media Anda

Plex – Pusat Sehenti Longgokan Media Anda

Diterbitkan pada Sep 15, 2012 oleh .

Kita sering-kali menghadapi masalah lambakkan fail-fail berbentuk media yang tersimpan dalam ruang cakera keras mahupun flash drive. Secara tradisinya untuk berkongsi satu fail media, kita perlu memindahkan fail tersebut dari satu peranti ke peranti samada menggunakan kabel mahupun secara WiFi atau Bluetooth. Seiring kemajuan teknologi, satu inovasi dalam dunia perkomputeran jaringan iaitu protokol Universal Plug & Play (upnp) diperkenal sama sekali mengubah norma dalam cara kita berkongsi fail media. Maka, para pengatucara serata dunia berpusu-pusu membangunkan perisian yang mampu memikul fungsi perkongsian media tanpa menduplikasi sesuatu fail.

Dalam rencana ini, saya Hanif, mahu memperkenalkan kepada pembaca sekalian satu perisian yang penulis jangkakan mampu untuk memudahkan anda semua melayani himpunan fail media secara lebih mudah, inovatif dan interaktif. Saya sendiri menggunakan perisian ini, menerokai sebanyak mungkin fungsi-fungsi yang menarik sebelum menulis rencana ini untuk berkongsi dengan pembaca Amanz sekalian. Walaupun terdapat perisian yang mempunyai fungsi yang serupa sedia terbina dalam Windows 7, Windows Media Center (WMC), mahupun perisian-perisian percuma yang lain, saya beranggapan tidak salah untuk kita selaku pengguna untuk mempunyai pilihan yang pelbagai.

Plex adalah pakej perisian media pusat yang terbahagi kepada dua perisian, UPNP Media Server dan UPNP Media Client. Gabungan kedua-dua perisian ini boleh dikatakan mampu memberikan anda pengalaman ber-media yang menarik.

Pertamanya saya ingin menerangkan tentang server – Plex Media Server (PMS), berfungsi sebagai tukang himpun kepada media-media yang bertebaran dalam ruang penyimpanan anda dan juga berfungsi sebagai pelayan kepada klien yang mahu mengakses fail tersebut sama ada melalui WiFi mahupun sambungan kabel dengan syarat pelayan dan klien berada dalam jaringan yang sama.

Selain daripada menghimpun, PMS juga bertindak sebagai kurator kepada fail media yang dihimpunnya dengan cara tag akan maklumat seperti nama, tahun, penyanyi, sinopsis, gambar tudung, sarikata, poster filem, mahupun poster rancangan tv kegemaran anda untuk setiap musim. PMS menyokong sistem operasi Windows, Mac dan Linux.

Yang kedua adalah Plex Media Center (PMC) selaku klien kepada PMS di atas. Secara asasnya, mana-mana peranti yang mempunyai fungsi UPNP boleh mengakses pelayan Plex seterusnya memainkan fail tersebut. Namun begitu, saya sangat-sangat menyarankan PMS digandingkan dengan PMC untuk memaksimumkan pengalaman media anda.

Saya telah cuba untuk mengakses dari beberapa peranti seperti Xbox360 menggunakan WMC terbina dalam Xbox360, BubleUPNP untuk Android dan 8player untuk iOS. Hasilnya, terdapat beberapa kelemahan semasa saya berbuat demikian seperti video berjeda-jeda, malah ada di antara fail yang langsung tidak boleh dimainkan atas faktor codec dan sebagainya.

Hal ini kerana perisian-persian tersebut memain fail tersebut secara streaming dimana fail dari pelayan terus dihantar ke klien. Berbanding dengan PMC, ia memainkan fail media secara transcoding. Melalui transcoding, peranti-peranti yang mempunyai perkakas yang lebih lemah mampu untuk mengakses video berdefinisi tinggi tanpa masalah. Malahan, berbagai-bagai format media termasuklah *FLV, mampu dimainkan terus dari pelayan Plex.

Anda boleh menikmati kecanggihan PMC di Windows, Mac, Linux, Android, iOS, dan Windows Phone 7

Sebagai penutup kepada rencana ini, saya ingin menyeru kepada pembaca sekalian untuk mencuba pelbagai perisian untuk meluaskan pilihan yang ada. Walaupun mempunyai fungsi yang sama, besar kemungkinan prestasinya yang berbeza mampu memberi impak kepada pengalaman kita.

Muat-Turun Plex untuk desktop

Muat-Turun Plex untuk peranti mudah-alih

Artikel ini ditulis oleh saudara Mohd Hanif Azrai. Hubungi beliau untuk sebarang cadangan atau maklumbalas melalui emel di mohd.hanif.azrai(a)gmail.com.


TIPS & ULASAN