Siri telah menjadi salah satu aplikasi yang hangat diperkatakan sepanjang penghujung tahun lepas dan awal tahun ini, dengan membolehkan para pengguna mengawal peranti menggunakan arahan suara. Lanjutan daripada kejayaannya, kini diperkatakan, Apple mungkin turut membawa fungsi sama ke iMac.
Siri buat masa ini telah pun diperkenalkan pada iPhone, iPad dan juga iPod Touch generasi ke lima, sekaligus menawarkannya pada peranti mudah-alih utama daripada Apple.
Kini, dengan permohonan baru untuk paten, ia memperlihatkan sokongan kawalan suara mungkin akan hadir ke desktop Apple, namun masih tidak diketahui bila lagi. Daripada apa yang dipohon, ia kelihatan kelak para pengguna boleh melakukan pembelian, memuat-turun dan sebagainya dengan menggunakan arahan suara.
Walaupun Siri tidak digunakan secara meluas oleh semua pengguna, namun dengan ia sebagai fungsi tambahan, semestinya memberikan kelainan dan nilai tambah untuk para pengguna.