Motorola, sepertimana dijanjikan, telah pun melancarkan peranti baru mereka yang dijana menggunakan cip pemprosesan Intel, iaitu Motorola Razr-i. Seperti peranti Motorola lain yang diumumkan pada awal bulan ini, ia juga akan dijana menggunakan Android sebagai sistem operasi utamanya.
Dari segi cip pemprosesan pula, ia dijana menggunakan cip pemprosesan Intel terbaru, membawakan kuasa pemprosesan sehingga 2GHz. Ia turut didatangkan bersama-sama dengan skrin bersaiz 4.3-inci pada resolusi 960×540 pixel, dan kamera 8-megapixel pada bahagian belakang. Untuk bateri pula, ia didatangkan dengan kapasiti sebanyak 2000mAh.
Menurut Intel, cip pemprosesan mereka dioptimasikan sepenuhnya untuk telefon pintar, membolehkan para pengguna membuat aktiviti berasaskan Java tanpa sebarang masalah. Aktiviti biasa seperti pelayaran web, memainkan game dan sebagainya turut dikatakan dioptimasikan sepenuhnya.
Motorola Razr-i ini didatangkan dengan Android 4.0 Ice Cream Sandwich, dan dikatakan akan menerima Jelly Bean tidak lama lagi. Buat masa ini, ia masih belum diketahui sama ada ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia, ataupun hanya eksklusif untuk pasaran Eropah sahaja.