Carian
Bagaimana Memuat-Turun Dan Memuat-Naik Data Dari Laman Sosial Terus Daripada Desktop?
September 21, 2012 Aman

Dengan perkembangan arena teknologi hari ini, kebanyakkan gambar para pengguna dirakamkan menggunakan telefon pintar, dan dikongsikan terus ke laman sosial, seperti Facebook, Instagram, Flickr, Picasa dan sebagainya. Tetapi bagaimanakah sekiranya anda inginkan gambar mahupun data dari laman tersebut di komputer anda?

Untuk perkara ini, salah satu aplikasi yang memudahkan anda memuat-turun ke semua gambar dan data milik anda dengan mudah, adalah SocialFolders. Menggunakan SocialFolders, ia menyediakan perisian khas untuk para pengguna Windows dan juga Mac OS X, membolehkan anda memuat-turun gambar dengan mudah terus ke komputer anda.

Menggunakan perkhidmatan tersebut, terlebih dahulu, selepas selesai memuat-turunnya dan mendaftar menggunakannya, anda perlu menghubungkan akaun-akaun sosial anda, seperti Facebook, Instagram, Flickr, Picasa dan sebagainya. Perkara ini dapat dilakukan dengan mudah, dimana para pengguna hanya perlu memilih tetapan Connect To My Services dengan klik-kanan pada ikon SocialFolders di taskbar.

Ia kemudian akan membuka pelayar web pada komputer anda, dan meminta anda memilih perkhidmatan yang ingin dihubungkan. Anda boleh membuat pilihan yang diinginkan. SocialFolders membolehkan anda menghubungkan kebanyakkan perkhidmatan utama, termasuk, Box, Chatter, Evernote, Facebook, Flickr, Google Docs, Instagram, Google Docs, Photobucket, Picasa, SmugMug, SoundCloud, Twitter dan juga YouTube.

Dengan membuat pilihan sesuatu perkhidmatan, anda akan diberikan kebebasan untuk memuat-turun sesuatu album, pilihan gambar, video, audio, dan sebagainya yang berkaitan dengan anda, mahupun rakan anda.

Selesai sahaja anda membuat tetapan untuk sesuatu perkhidmatan, SocialFolders akan mula memuat-turun data pilihan terus ke desktop anda. Menariknya adalah, ia juga turut disertakan sokongan sync, membolehkan folder tersebut pada desktop anda dikemaskini sebaik sahaja terdapat sebarang gambar atau data baru ditambah.

Apa yang menariknya mengenai perkhidmatan ini, adalah anda juga boleh terus memuat-naik gambar dan sebagainya terus daripada desktop anda ke perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh membuat album khas pada Facebook, dengan hanya membuat folder khas pada SocialFolders di desktop anda, dan masukkan gambar disana. Ia akan dimuat-naik secara automatik untuk diakses menggunakan internet.

Namun, sama seperti kebanyakkan perkhidmatan awan dan sebagainya yang lain, ia juga didatangkan dengan had tertentu, dimana untuk versi percuma, hanya pengurusan sebanyak 2000 fail sahaja dibenarkan, dan untuk menambahnya, para pengguna boleh menjemput rakan mereka (seumpama Dropbox) ataupun membeli perkhidmatan tambahan yang ditawarkan.

Jadi, bagi anda yang berminat, mungkin boleh mencubanya hari ini, dan sekiranya anda mempunyai sebarang perkhidmatan lain dengan fungsi lebih kurang sama, jangan lupa kongsikannya bersama kami.

Komen