Cari @ Amanz

Dengan pelancaran iOS 6 semalam, ramai pengguna yang tidak berpuas-hati dengan peta iOS 6 baru, yang mana tidak menyertakan pelbagai data dan tidak lengkap, berbanding sistem pemetaan dari Google yang digunakan sebelum ini. Ramai pengguna yang berkongsi kelemahan iOS 6 Maps ini pada Twitter, disamping sebuah laman Tumblr khas diwujudkan untuk memperlihatkan betapa teruknya sistem pemetaan yang terdapat pada iOS 6.

Sementara ia masih tidak diketahui sama ada Google akan hadir dengan aplikasi Google Maps untuk iOS ataupun tidak, kini Nokia mengambil peluang keemasan ini dengan mempromosikan perkhidmatan Nokia Maps mereka, yang sememangnya aplikasi pemetaan yang terbaik terdapat pada peranti mudah-alih pada hari ini.

Daripada bancian terkini yang dilakukan, ia dilaporkan seramai 77% pengguna menggunakan telefon pintar untuk mengakses GPS, dan semestinya dengan masalah yang dihadapi oleh Apple ini, ia akan menguntungkan Nokia dan juga pengeluar peranti lain. Berbanding Google yang masih baru, Nokia mempunyai data daripada Navteq, yang mana berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam pemetaan, dan ini semestinya memberikan pengalaman penggunaan yang terbaik pada telefon pintar.

Namun, masalah utama yang dihadapi semestinya adalah dimana Nokia Lumia 920, peranti terbaru mereka masih tidak diketahui bilakah akan mula dijual, sementara iPhone 5 yang telah pun mula dijual secara berperingkat mengikut negara bermula hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd