Walaupun nama domain Google.com didaftarkan pada 15 September 1997, dan syarikat Google didaftarkan pada 4 September 1998, namun, Google menyambut ulang-tahun mereka setiap 27 September sejak tahun 2005, dan hari ini, melalui doodle pada halaman rasmi Google, mereka kini telah pun berumur 14 tahun.
Pada hari ini, mungkin semua pengguna internet mengenali akan enjin carian nombor satu dunia, Google, yang mana telah dimulakan oleh Larry Page dan juga Sergey Brin. Kini, Google bukan sahaja terkenal kerana enjin carian mereka, tetapi turut terkenal oleh kerana beberapa produk mereka yang lain, termasuk pelayar web Google Chrome, platform video YouTube, aplikasi pemetaan Google Maps, perkhidmatan emel GMail, dan juga platform mudah-alih – Android.
Selain daripada itu, Google juga kini antara syarikat teknologi termaju, dengan antara projek mereka yang dinantikan ramai termasuklah kereta yang dipandu automatik, serta kaca mata Google Glasses. Semestinya, terdapat puluhan mahupun ratusan projek secara dalaman yang masih menjadi rahsia dan tidak didedahkan oleh gergasi tersebut lagi buat masa ini.
Jadi, bersempena dengan ulang-tahun Google, apakah produk Google yang paling diminati oleh anda?