Pihak Asus Malaysia kini telah pun berkongsi berita gembira bagi para pengguna Transformer Pad Prime dan juga Transformer Pad Infinity, dimana, mereka bakal memperkenalkan kemaskini Android 4.1 Jelly Bean untuknya bermula daripada penghujung September ini secara berperingkat untuk semua.
Kemaskini ini akan diperkenalkan secara berperingkat, dimana pengguna Malaysia mungkin akan menerimanya pada awal Oktober kelak, ataupun sekiranya bertuah, dalam beberapa hari lagi. Android 4.1 Jelly Bean membawakan beberapa kemaskini, terutamanya memfokuskan kepada mengatasi lengah masa melalui Project Butter. Disamping itu, ia turut sama membawakan sokongan notifikasi yang lebih baik, disamping sokongan Google Now padanya.
Selain daripada kemaskini untuk tablet Asus Transformer Pad ini, pengeluar peranti lain juga sedang bertungkus lumus mengoptimasikan Android 4.1 Jelly Bean untuk peranti keluaran mereka. Samsung dan HTC adalah diantaranya yang sedang bergiat dalam usaha untuk menawarkan yang terbaik untuk pengguna Galaxy S3 dan HTC One X.