Cari @ Amanz

Adakah Bajet 2013 mesra industri ICT negara?

Dengan tamatnya pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib Razak, semestinya ramai yang tertanya-tanya apakah yang dibawakan dan ditawarkan oleh Belanjawan 2013 untuk industri ICT negara? Berikut kami kumpulkan beberapa perkara yang diumumkan oleh Najib Razak, khas memfokuskan kepada dunia ICT tempatan.

Bantuan Latihan Dan Bimbingan Untuk Usahawan Muda

Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Entrepreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukkan permulaan sebanyak 50 juga ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

Rebat RM200 Untuk Pembelian Telefon Pintar Oleh Golongan Belia

Bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui pakej Komunikasi Belia, rebat RM200 akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah-alih pintar melalui pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan RM3000 dan ke bawah.

Penubuhan 100 Pusat Internet 1Malaysia

Kerajaan akan menubuhkan 100 pusat internet 1Malaysia antara tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini akan dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi. SKMM akan menyediakan peruntukkan sebanyak RM150 juta untuknya.

Fokus Dalam Pembangunan Latihan Kemahiran Dan Daya Kreatif

Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamar mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja professional dan berbakat didalam industri terpilih, termasuk ICT, industri kreatif dan juga bioteknologi.

Sokongan Penyelidikan Ke Arah Teknologi Yang Lebih Maju

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi dan aero-angkasa.

Mengalakkan Penggunaan Teknologi Hijau

Dalam Belanjawan 2010, kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dengan dana berjumlah RM1.5 billion dan akan berakhir 31 Disember 2012. Untuk merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim akan ditambah sebanyak RM2 billion dan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015.

Selain daripada itu, Belanjawan 2013 juga turut sama memfokuskan kepada bantuan para usahawan, dimana menawarkan rebat kepada para pelabur persendirian, serta mengalakkan pelabur luar untuk melabur ke dalam projek-projek tempatan.

Jadi, apa pendapat anda berkenaan Belanjawan 2013 kali ini untuk industri ICT negara?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd