Cari @ Amanz

Dengan berakhirnya bulan September 2012, mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah topik hangat yang dicari ramai pengguna tempatan di Google. Kini, pihak Google Malaysia telah pun mengeluarkan senarai 10 carian terhangat di Google Malaysia sepanjang bulan lepas, yang mana memfokuskan lebih kepada hiburan.

1) Belanjawan 2013 / Bajet 2013

Dengan pembentangan Belanjawan 2013 oleh Menteri Kewangan Malaysia, ramai rakyat Malaysia dilihat mencari pelbagai info tambahan berkaitan dengan apakah yang ditawarkan oleh Belanjawan 2013 untuk segenap lapisan masyarakat.

2) Kate Middleton

Bersempena dengan sambutan Jubli Intan Ratu Elizabeth, Duke dan Duchess of Cambridge ini telah mengadakan kunjungan rasmi selama empat hari ke Malaysia.

3) Adam Dan Hawa

Satu lagi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel, telah pun ditayangkan di kaca televisyen negara melalui saluran Astro Mustika bermula penghujung Ogos yang lepas. Drama yang dibintangi Aaron Aziz ini kelihatan mendapat perhatian di hati peminat sejak ia mula ditayangkan, dan ramai mula mencari pelbagai info berkaitan menggunakan Google.

4) iPhone 5 Malaysia

Dengan pengenalan iPhone 5 oleh pihak Apple pada pertengahan September lepas, ramai pengguna tempatan yang tidak sabar untuk memilikinya, dan mula tercari-cari info berkaitan bilakah ia akan tiba di Malaysia. Masih tiada info rasmi berkenaan dengannya buat masa ini, walaupun DiGi dan Maxis telah pun mula menawarkan kad-SIM Nano kepada pelanggan mereka.

5) Resident Evil Retribution

Salah satu filem sains fiksyen dari francais Resident Evil telah pun mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 September, membuatkan ramai pengguna tempatan yang tercari-cari maklumat lanjut berkenaan filem terbaru ini.

6) Shila Amzah

Penyanyi muda berusia 22 tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila muncul dengan kemenangan dalam sebuah program realiti nyanyian di Shanghai, China.

7) Muara Hati

Daripada drama Adam & Hawa, selain daripada info berkenaan dengan drama tersebut, ia juga kelihatan ramai peminat yang mencari runut bunyi untuk drama tersebut yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dan Hafiz AF.

8) iOS 6

Selain daripada iPhone 5, pengguna tempatan juga turut kelihatan tertarik dengan sistem operasi mudah-alih terbaru daripada Apple iaitu iOS 6 yang telah pun diperkenalkan untuk beberapa peranti sedia ada daripada Apple.

9) KEMAS

Ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) untuk program pendidikan awal bagi sesi 2013.

10) H&M Malaysia

Para peminat butik pakaian dari Sweden ini begitu teruja dengan pembukaan butik pertama mereka di Lot 10 pada 22 Sept.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd