Bagi para pengguna Android, semestinya tertarik dengan fungsi Google Now yang dipertontonkan dan dibawakan untuk pengguna Jelly Bean. Namun, bagi mereka yang tidak menggunakan Jelly Bean, sebagai salah satu alternatif, aplikasi yang amat berguna adalah Maluuba.
Maluuba merupakan salah satu aplikasi berbentuk pembantu maya, memudahkan anda menetapkan sesuatu perkara, disamping membuat dan mencari pelbagai info menarik daripadanya. Anda juga boleh membuat dan mengakses pelbagai perkara, termasuk laman sosial anda terus daripadanya.
Buat masa ini, aplikasi ini masih eksklusif untuk para pengguna di utara Amerika sahaja, memandangkan, beberapa data, seperti lokasi berdekatan, kedai makan dan sebagainya bergantung kepada perkhidmatan Yelp. Ini membuatkan pembangunnya tidak memperkenalkan aplikasi tersebut kepada semua pengguna di seluruh dunia.
Namun, salah seorang rakan di Reddit, berkongsi APK untuk aplikasi ini, untuk diuji dan digunakan ramai. Dan seperti sedia maklum, beberapa fungsi padanya tidak dapat digunakan sepenuhnya. Selain daripada APK ini, pembangunnya turut mengatakan mereka akan hadir dengan aplikasi Maluuba Lite untuk semua pengguna di seluruh dunia, dengan beberapa fungsi yang dibuang daripadanya.
Daripada apa yang kami gunakan, fungsi carian maklumat, sokongan sosial, kebolehan menetapkan Reminder, mengakses Google Calendar dan sebagainya berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah. Untuk sokongan sosial, seperti FourSquare, Twitter dan sebagainya, apabila pertama kali anda menggunakannya, ia akan membuka pelayar web, dengan meminta anda memberikan kebenaran untuk aplikasi tersebut terlebih dahulu.
Bagi para pengguna Android yang berminat, mungkin boleh memuat-turun fail APK tersebut, dan mencubanya sendiri pada peranti anda hari ini atas risiko peribadi.