Cari @ Amanz

Yes Life Web membolehkan anda membuat dan menerima panggilan dan SMS terus daripada pelayar web.Dengan dunia yang semakin bergerak ke arah dunia teknologi, pelbagai perkara yang mula dikendalikan melalui pelayar web, dan terkini, Yes yang terkenal dengan jalur-lebar mudah-alih yang berkelajuan tinggi memperkenalkan Yes Life Web, membawakan perkhidmatan Yes Life mereka setapak kehadapan lagi.

Bagi para pengguna Yes, mungkin ia adalah salah satu perkhidmatan yang tidak asing lagi. Yes Life sebelum ini telah diperkenalkan untuk para pengguna Android, iOS, Mac dan juga Windows, membolehkan para pengguna membuat panggilan dan juga SMS terus melalui aplikasi tersebut pada peranti pintar mudah-alih anda. Dan kini, dengan Yes Life Web, anda boleh melakukan kesemua perkara tersebut menggunakan pelayar web anda.

Apa yang menariknya mengenai perkhidmatan ini adalah dimana ia tidak bergantung kepada sebarang kad-SIM, dan boleh digunakan tanpanya. Namun, para pengguna masih perlu mendaftarkan akaun mereka dengan pihak Yes melalui laman rasmi mereka, dan perlu mempunyai kredit dalam akaun untuk membuat panggilan keluar. Mungkin dengan pakej Yes pada harga serendah RM25 sebulan, ia tidak menjadi sebarang masalah besar untuk pengguna.

Yes Life Web yang diperkenalkan ini membawakan gabungan pelbagai perkhidmatan sedia ada Yes Life termasuk ruangan storan awan, dan panel pengurusan aplikasi seperti emel dan kalendar terus melalui satu web. Walaupun ia mungkin nampak kelihatan biasa, salah satu perkara yang menarik perhatian semestinya adalah kebolehan untuk membuat panggilan dan menerima terus melalui pelayar web.

ruangan storan percuma sebanyak 2Gb…

Yes Life Web membolehkan para pengguna dengan mudah membuat dan menerima panggilan dan SMS terus menggunakan pelayar web mereka. Daripada apa yang kami gunakan, ia kelihatan berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah. Panggilan yang kami terima juga berjalan lancar. Namun, semestinya ia bergantung kepada talian internet anda, dimana ketika mencuba menggunakan WiFi di kedai makan dan sebagainya, talian kelihatan agak terputus-putus berbanding kebiasaan. Dan sekiranya anda tiada sebarang headset, panggilan akan kelihatan janggal, memandangkan anda perlu bercakap dengan sedikit kuat, agak dapat ditangkap oleh mikrofon komputer anda.

Namun, kebolehan menghantar SMS semestinya salah satu perkara yang menarik, dimana anda boleh menggunakan papan kekunci komputer anda dalam menghantar dan menerima SMS. Buku alamat terbina memudahkan anda mengetahui siapakah yang membuat panggilan, dan untuk siapakah yang anda ingin membuat panggilan ataupun menghantar SMS.

Selain daripada emel, kalendar dan juga buku alamat, salah satu perkhidmatan tambahan yang disediakan adalah perkhidmatan storan awan. Yes memberikan ruangan percuma sebanyak 2GB untuk para pengguna membolehkan mereka memuat-naik fail dengan hanya drag-drop pada pelayar web anda. Kadar kelajuan muat-naik yang ditawarkan adalah agak baik, membolehkan anda memuat-naik sesuatu fail dengan lebih pantas. Perkara ini mungkin kerana pelayannya yang terletak di dalam Malaysia. Ia juga menyediakan sokongan perkongsian, membolehkan pengguna berkongsi pautan memuat-turun sesuatu fail yang dimuat-naik bersama-sama dengan yang lain.

Namun, semestinya sekiranya mempunyai sebuah klien khas seperti Dropbox atau SkyDrive, ia akan lebih aktif digunakan oleh semua pengguna. Buat masa ini, klien desktop sedia ada hanya sekadar membolehkan para pengguna membuat dan menerima panggilan sahaja, sementara fungsi storan awan dikatakan akan diperkenalkan padanya pada kemaskini berikutnya. Mungkin juga aplikasi mudah-alih mereka turut sama akan menerima kemaskini serupa tidak lama lagi.

Kelebihan Yes Life Web

  • Membuat panggilan dan menghantar SMS terus daripada pelayar web.
  • Menguruskan emel, panggilan dan semuanya melalui satu antaramuka yang kemas dan mudah digunakan.
  • Ruangan storan awan memudahkan para pengguna menghantar fail bersaiz besar bersama yang lain.

Kekurangan Yes Life Web

  • Logo yang tidak membawa kepada halaman utama aplikasi web apabila diklik, sebaliknya ke halaman produk Yes.
  • Ketidakbolehan untuk menambah akaun emel sedia ada untuk diuruskan terus pada Yes Life Web.
  • Tiada klien desktop untuk uruskan storan awan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd